DUNIA

Banjir Sumatera: Angka korban cecah 908, ratusan masih hilang

Astro Awani 06/12/2025 | 23:10 MYT
Mangsa terselamat berjalan melepasi runtuhan di kawasan yang musnah akibat banjir kilat di Aceh Tamiang, Pulau Sumatera, Indonesia. - Foto AP
JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) melaporkan angka korban akibat banjir dan tanah runtuh di pulau Sumatera kini meningkat kepada 908 orang, manakala 410 lagi masih hilang.


Ringkasan AI
  • Banjir dan tanah runtuh di Sumatera menyebabkan 908 mangsa dan 410 hilang; Aceh, Sumatera Utara, dan Sumatera Barat paling terjejas.
  • Ribut tropika dan hujan monsun di Asia Tenggara dan Selatan menyebabkan lebih 1,790 kematian; Gabenor Aceh mengeluarkan amaran kebuluran di kawasan terpencil.
  • Presiden Indonesia menegaskan kerajaan mampu tangani bencana tanpa bantuan asing; kemusnahan alam disebabkan oleh pembalakan dan pembangunan lereng bukit yang tidak terkawal.


Tiga wilayah paling terjejas, Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat, dilanda hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu, menyebabkan sungai melimpah, tanah runtuh dan kerosakan teruk terhadap infrastruktur termasuk jalan raya dan jambatan.

Akses ke kawasan pedalaman terputus, khususnya di Aceh dan Sumatera Utara, apabila puluhan jambatan rosak dan jalan utama ditenggelami air atau tertimbus lumpur.

Ramai penduduk terputus hubungan, tanpa bekalan elektrik, air bersih dan komunikasi selama beberapa hari.

Rantaian ribut tropika dan hujan monsun yang melanda Asia Tenggara dan Selatan sejak minggu lalu turut menyebabkan bencana serantau, dengan lebih 1,790 kematian direkodkan di Indonesia, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam.

Di Aceh, Gabenor Muzakir Manaf memberi amaran bahawa angka korban mungkin terus meningkat akibat kebuluran di kawasan terpencil yang masih belum menerima bantuan.

“Ramai yang tidak mati kerana banjir, tetapi kerana kelaparan,” katanya.

“Banyak kawasan terpencil di Aceh masih belum disentuh.”

Beliau turut mendedahkan bahawa daerah Aceh Tamiang musnah sepenuhnya, dengan kampung-kampung dan mukim kini hanya tinggal nama selepas dihanyutkan arus deras.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, menegaskan bahawa kerajaan persekutuan mampu menangani situasi ini tanpa perlu bergantung kepada bantuan asing.

Bagaimanapun, tentera, polis dan pasukan bantuan tambahan telah dikerahkan ke wilayah terjejas.

Kemusnahan alam sekitar turut dikaitkan dengan pembalakan tidak terkawal dan pembangunan lereng bukit di Sumatera, yang melemahkan kawasan tadahan air dan meningkatkan risiko bencana.

Pakar iklim pula memberi amaran bahawa perubahan iklim menyumbang kepada kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap di rantau ini.






#banjir #tanah runtuh #angka korban #hujan lebat