DUNIA

Banjir Sumatera: Bau bangkai gajah jadi beban penduduk kampung

Seth Akmal 09/12/2025 | 11:45 MYT
Bangkai gajah itu sudah hampir tertimbus separuh badan dalam timbunan lumpur dan kayu balak. - Gambar Astro AWANI/Seth Akmal
ACEH: Bau bangkai seekor gajah yang mati di Kampung Meunasah Lhok akibat banjir besar pada 26 November lalu masih menusuk hidung warga kampung berkenaan sehingga hari ini.

Tinjauan Astro AWANI mendapati, bangkai tersebut sudah hampir tertimbus separuh badan dalam timbunan lumpur dan kayu balak.

Sukarelawan Tenaga Kesejahteraan Sosial Kecamatan (TKSK), Fandi Irawan M Yunus berkata, masyarakat kampung enggan membakar bangkai tersebut kerana simpati akan nasib gajah tersebut.

“Pada awalnya kami bercadang untuk membakar namun kami tidak sanggup, jadi ada penduduk yang siram dengan air kimia agar bau itu tidak terlalu kuat,” katanya.

Difahamkan gajah itu telah dibawa arus deras air bah dari kawasan pergunungan yang terletak lapan kilometer dari kampung berkenaan.

Tambahnya, orang kampung juga tidak pernah melihat gajah di kampung itu sebelum kejadian banjir besar berkenaan

“Kami tidak pernah melihat, ini kali pertama,” katanya.

Menurut Fandi, banjir itu juga telah menghancurkan seratus buah rumah menyebabkan hampir 1,539 orang hilang tempat tinggal serta mengorbankan seorang mangsa.

Menurut rekod Posko Tanggap Bencana Aceh, setakat hari ini, 389 orang dilaporkan meninggal dunia, 57 hilang, manakala 848,770 mangsa masih kehilangan tempat tinggal.



#banjir #meninggal dunia #arus deras #tempat tinggal