Banjir: Hilir Perak catat jumlah mangsa tertinggi, pusat pemindahan di Selangor berkurangan
DUNIA

Banjir Sumatera: Penduduk mula pulang, desakan kerajaan isytihar darurat bencana nasional semakin kuat

Agensi 07/12/2025 | 05:30 MYT
Penduduk Batang Toru mula membersihkan kediaman masing-masing pada Sabtu, selepas banjir dan tanah runtuh yang mengorbankan ratusan nyawa di Sumatera, baru-baru ini. - Gambar/ Reuters
BATANG TORU: Penduduk di Batang Toru, Tapanuli Selatan, mula membersihkan kediaman masing-masing pada Sabtu selepas banjir besar dan tanah runtuh yang melanda sejak akhir November memusnahkan ratusan rumah serta infrastruktur asas.


Ringkasan AI
  • Banjir besar dan tanah runtuh di Batang Toru, Tapanuli Selatan, menyebabkan musnahnya ratusan rumah dan infrastruktur asas, memaksa penduduk membersihkan kediaman yang dipenuhi lumpur.
  • Tragedi ini turut mengganggu laluan utama, memutuskan bekalan elektrik, dan menimbulkan kekurangan makanan serta air bersih di kalangan penduduk yang terjejas.
  • Bencana ini menyebabkan sekurang-kurangnya 908 orang cedera, 410 hilang, 4,200 cedera, hampir 850,000 dipindahkan, serta kerugian ekonomi awal melebihi 68 trilion rupiah, memerlukan operasi penyelamatan besar-besaran dan mungkin perlunya pengisytiharan status darurat bencana nasional.


Tragedi yang dicetuskan oleh cuaca ekstrem akibat Siklon Tropika Senyar itu turut menjejaskan laluan utama dan memutuskan bekalan elektrik di beberapa daerah.

Penduduk kini berdepan cabaran memulihkan kehidupan selepas rumah dipenuhi lumpur dan perabot rosak.

Ramai mengadu kekurangan bekalan makanan dan air bersih, sementara risiko penyakit pascabanjir semakin meningkat.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara Indonesia (BNPB), jumlah korban di tiga wilayah paling teruk terjejas iaitu Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat meningkat kepada sekurang-kurangnya 908 orang, manakala 410 lagi masih hilang setakat 6 Disember.

Lebih 4,200 penduduk cedera dan hampir 850,000 orang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

BNPB memberi amaran angka korban dijangka terus meningkat apabila operasi mencari diperluas ke kawasan terpencil yang sebelum ini terputus hubungan.

Bencana ini turut memusnahkan lebih 121,000 rumah, ratusan sekolah, rumah ibadat dan 405 jambatan, sekali gus melumpuhkan rangkaian pengangkutan darat.

Kerugian ekonomi awal dianggarkan melebihi 68 trilion rupiah, melibatkan kerosakan infrastruktur, hasil pertanian dan pendapatan isi rumah.

Operasi menyelamat digerakkan secara besar-besaran dengan kerjasama BNPB, Basarnas, TNI, Polri dan sukarelawan.

Tentera Nasional Indonesia (TNI) mendirikan sekurang-kurangnya 10 jambatan Bailey untuk memulihkan akses logistik, selain melaksanakan penghantaran bantuan melalui udara menggunakan pesawat CN-295 dan C-130J Hercules.

Bantuan termasuk makanan, ubat-ubatan, bahan bakar dan peralatan komunikasi satelit seperti Starlink untuk kawasan yang masih terputus hubungan turut disalurkan.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, yang meninjau lokasi bencana di Tapanuli Tengah dan Aceh Tenggara awal minggu ini, mengarahkan usaha bantuan banjir dan tanah runtuh sebagai keutamaan nasional.

Beliau menegaskan bahawa semua kementerian dan agensi digerakkan sepenuhnya untuk mempercepat pemulihan akses, penyaluran bantuan serta pembinaan semula infrastruktur asas.

Bagaimanapun, desakan agar kerajaan mengisytiharkan status darurat bencana nasional semakin memuncak.

Beberapa pihak termasuk DPR, ICMI Aceh dan pertubuhan hak asasi mendakwa skala bencana telah melampaui kemampuan pemerintah daerah.

Penetapan status darurat nasional itu akan membolehkan mobilisasi sumber daya lebih besar serta membuka ruang bantuan antarabangsa.

Namun, sehingga kini, kerajaan mengekalkan status darurat di peringkat provinsi sambil memantau perkembangan.





#Prabowo Subianto #tanah runtuh #Sumatera #banjir besar