Skip to main content

Dunia

Banjir Thailand jejas lebih 30,000 penduduk di wilayah Nan, dua maut

TB_NAN THAI BANJIR_X @sustainme.in
Banjir yang berpunca daripada hujan lebat, banjir kilat dan limpahan tebing sungai itu menjejaskan 13,132 isi rumah atau 30,313 orang di empat daerah di wilayah berkenaan. - Media sosial/ X @sustainme.in
Advertisement

BANGKOK: Lebih 30,000 penduduk terjejas akibat banjir di wilayah Nan, utara Thailand sejak pagi Rabu, dengan dua kematian dilaporkan ketika pihak berkuasa meningkatkan usaha memindahkan penduduk serta menyediakan bantuan segera.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Chatchadaporn Boonpeeranuch berkata banjir yang berpunca daripada hujan lebat, banjir kilat dan limpahan tebing sungai itu menjejaskan 13,132 isi rumah atau 30,313 orang di empat daerah di wilayah berkenaan -- Pua, Tha Wang Pha, Phu Phiang dan Santisuk.

Beliau berkata dua kematian dilaporkan masing-masing di daerah Pua dan Tha Wang Pha.

“Pihak berkuasa telah diarahkan supaya mengutamakan keselamatan penduduk, khususnya golongan rentan, serta memindahkan mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi ke lokasi selamat sebelum keadaan bertambah buruk,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi DDPM pada Khamis.

Chatchadaporn berkata pegawai turut bekerjasama dengan pejabat kesihatan awam wilayah bagi mengenal pasti lokasi golongan rentan, termasuk pesakit terlantar, supaya mereka dapat segera dihubungi dan dibantu.

Beliau menggesa penduduk supaya memantau rapat paras air, taburan hujan dan amaran rasmi, sambil berkata pihak berkuasa kekal bersiap siaga menghadapi hujan selanjutnya yang boleh memburukkan keadaan.

Chatchadaporn berkata pasukan tindak balas dan peralatan, termasuk bot dasar rata, jet ski, pam air, kenderaan yang sesuai meredah banjir serta kenderaan untuk mengangkut penduduk terjejas, sedang disediakan untuk digerakkan segera ke kawasan yang memerlukan.

“DDPM telah mengerahkan sebuah helikopter KA-32 serta peralatan tindak balas bencana dari pusat serantaunya di Lampang, Chiang Rai dan Chainat bagi menyokong operasi bantuan,” katanya.

Chatchadaporn berkata DDPM telah menghantar 5,000 beg bantuan ke kawasan terjejas untuk diagihkan kepada mangsa banjir mengikut pelan yang ditetapkan pihak wilayah.

Beliau berkata di kawasan yang dilanda banjir dan airnya telah surut, pihak berkuasa bekerjasama dengan organisasi pentadbiran tempatan, yayasan, sukarelawan dan pemimpin masyarakat untuk membersihkan serta memulihkan rumah, jalan raya, pejabat kerajaan dan kemudahan penting lain.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement