DUNIA

Bank Dunia akan beri pinjaman AS$700 juta perkukuh daya tahan Filipina terhadap bencana alam

Bernama 01/08/2025 | 20:15 MYT
Bank Dunia akan memberikan pinjaman sebanyak AS$700 juta kepada Filipina bagi projek pembinaan semula dan pembangunan yang bertujuan memperkukuh daya tahan negara itu terhadap bencana alam dan perubahan iklim. - Gambar fail
MANILA: Bank Dunia akan memberikan pinjaman sebanyak AS$700 juta kepada Filipina bagi projek pembinaan semula dan pembangunan yang bertujuan memperkukuh daya tahan negara itu terhadap bencana alam dan perubahan iklim, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan akhbar Bank Dunia pada Khamis, kira-kira 18 juta isi rumah di negara itu dijangka menjadi kurang terdedah kepada bencana alam dalam beberapa tahun akan datang melalui perancangan komuniti yang lebih baik dan pelaburan dalam infrastruktur.

Daripada jumlah keseluruhan US$874.35 juta yang diperlukan untuk projek itu, Bank Dunia akan menyumbang AS$700 juta melalui sebuah bank antarabangsa, manakala Kerajaan Filipina akan memperuntukkan baki AS$174.35 juta.

Bank Dunia menyatakan yang Filipina berada di kedudukan teratas dalam Indeks Risiko Dunia disebabkan oleh tahap kerentanan dan pendedahan tinggi terhadap cuaca ekstrem dan kejadian iklim, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.

--BERNAMA-XINHUA






#Bank Dunia #pinjaman #Filipina #perkukuh daya tahan