Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
DUNIA

Bank Dunia lulus bantuan kecemasan AS$10 juta untuk Cape Verde

Bernama 14/08/2025 | 20:40 MYT
Keadaan jalanan yang berlumpur di Sao Vicente, Cape Verde akibat dilanda hujan badai beberapa hari lalu. - Foto REUTERS
PRAIA: Bank Dunia meluluskan bantuan kecemasan berjumlah AS$10 juta bagi menyokong usaha Cape Verde menangani hujan lebat yang meragut lapan nyawa dan menyebabkan tiga lagi hilang, kata Perdana Menteri Cape Verde Ulisses Correia e Silva, lapor Xinhua.

Dalam hantaran di laman media sosial rasminya pada Rabu, Correia e Silva berkata bantuan itu diaktifkan di bawah program kerjasama yang bertujuan menyokong usaha kerajaan ke arah pemulihan ekonomi yang berdaya tahan dan saksama, dengan Bank Dunia membenarkan penyaluran segera dana tersebut.

Beliau berterima kasih kepada Kumpulan Bank Dunia atas "tindak balas pantas" terhadap permintaan Cape Verde serta "semangat solidariti yang tinggi" dalam menangani keperluan sosial dan infrastruktur mendesak bagi melindungi komuniti dan membina semula dengan lebih berdaya tahan.

Kerajaan Cape Verde telah mengisytiharkan darurat di pulau Sao Vicente, Santo Antao dan Sao Nicolau, yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir sehingga menyebabkan kerosakan harta benda yang besar selain korban jiwa.

-- BERNAMA





#Bank Dunia #Cape Verde #bantuan kecemasan #hujan lebat #angka korban