ACCRA: Kumpulan Bank Dunia meluluskan pakej pembiayaan US$500 juta untuk membantu naik taraf sekurang-kurangnya 1,000 kilometer jalan bagi akses pertanian dan pasaran luar bandar di Ghana, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, Projek Akses dan Ketersambungan Pasaran Ghana (GMACP) ialah inisiatif utama bertujuan meningkatkan ketersambungan jalan luar bandar, mengukuhkan rantaian nilai pertanian, mengembangkan peluang ekonomi dan mewujudkan pekerjaan langsung jangka pendek kepada komuniti luar bandar di seluruh Ghana.
Bank Dunia menyatakan keadaan jalan yang teruk dan penyelenggaraan tidak mencukupi telah lama menyekat mata pencarian luar bandar di Ghana, mengehadkan akses pasaran, meningkatkan perbelanjaan pengangkutan dan menyumbang kepada kerugian ketara pascatuaian.
Projek itu bertujuan membaiki dan menyelenggara jalan pengantara yang penting untuk membantu petani mencapai pasaran dengan lebih mudah, yang akan mengurangkan perbelanjaan pengangkutan, mengurangkan masa perjalanan dan menjadikan bekalan lebih kukuh, menurut kenyataan itu.
"Projek ini akan meningkatkan akses kepada pasaran dan peluang untuk komuniti luar bandar sambil mengukuhkan daya saing dan daya tahan pertanian Ghana dan memberi manfaat secara langsung kepada lebih 550,000 orang," kata Robert Taliercio, pengarah bahagian Bank Dunia untuk Ghana, Liberia dan Sierra Leone.
"Ia juga dijangka menjana lebih 5,000 pekerjaan langsung dan lebih 25,000 pekerjaan tidak langsung menerusi kerja-kerja awam dan aktiviti penyelenggaraan jalan," tambah Taliercio.
Projek GMACP, yang merangkumi reka bentuk berupaya menangani cabaran iklim untuk memastikan jalan raya dan sistem perparitan selamat bagi jangka masa panjang, akan dilaksanakan oleh Kementerian Jalan Raya dan Lebuhraya Ghana.
-- BERNAMA-XINHUA