LONDON: Ahli jawatankuasa dasar Bank of England "hampir pasti" akan mengekalkan kadar faedah pada 3.75 peratus dalam mesyuarat mereka minggu depan walaupun perang Iran meningkatkan kos sara hidup, menurut pakar ekonomi lapor PA Media/dpa.
Bagaimanapun, pakar berkata kenaikan kadar faedah pada masa hadapan masih berkemungkinan berlaku jika firma dan isi rumah terus menghadapi tekanan inflasi.
Advertisement
Sembilan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank of England akan mengundi sama ada untuk mengekalkan, menaikkan atau mengurangkan kadar faedah asasnya pada Khamis, 30 April.
Bank pusat itu juga akan menerbitkan laporan dasar monetari penuh yang pertama serta set unjuran ekonomi sejak konflik antara pasukan tentera AS-Israel dan Iran bermula pada lewat Februari.
Minggu ini, pelbagai data ekonomi menunjukkan bahawa konflik itu telah membantu memacu inflasi ke tahap lebih tinggi.
Data yang diterbitkan oleh Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) pada Rabu menunjukkan inflasi Indeks Harga Pengguna (IHP) United Kingdom (UK) meningkat kepada 3.3 peratus pada Mac, paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan, didorong oleh peningkatan harga bahan api.
Harga bahan api kenderaan melonjak 8.7 peratus bulan ke bulan – kenaikan terbesar sejak Jun 2022 – susulan gangguan terhadap pengeluaran dan pengangkutan minyak yang menyebabkan harga diesel serta petrol meningkat.
Sementara itu pada Jumaat, penyelidikan Bank of England mendapati firma-firma UK memberi amaran bahawa mereka menjangkakan inflasi makanan boleh melonjak sehingga tujuh peratus ketika mereka meningkatkan tinjauan inflasi bagi tahun depan.
Data ekonomi lain menunjukkan bahawa aktiviti dalam ekonomi UK adalah lebih kukuh daripada yang dijangkakan.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa