INTERNATIONAL
Bank of England sedia kurangkan kadar faedah susulan kesan tarif AS

Kadar faedah di United Kingdom (UK) dijangka diturunkan kepada 4.25 peratus apabila Bank of England mengambil langkah mengurangkan kos pinjaman sambil menilai kesan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi. - Gambar fail/AP
LONDON: Kadar faedah di United Kingdom (UK) dijangka diturunkan kepada 4.25 peratus apabila Bank of England mengambil langkah mengurangkan kos pinjaman sambil menilai kesan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas ekonomi, lapor PA Media/dpa.
Kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan kadar itu akan dikurangkan sebanyak 0.25 mata peratusan pada Khamis.
Pakar ekonomi Investec, Sandra Horsfield berkata ia adalah "hampir pasti" bahawa kos pinjaman akan dikurangkan lagi, dengan sebahagian besar peserta pasaran kewangan telah menjangkakan pemotongan tersebut.
Kadar inflasi telah menurun sejak beberapa bulan lalu, satu petanda kepada pembuat dasar bahawa kadar faedah - yang digunakan sebagai alat untuk mengawal inflasi - boleh terus diturunkan.Menurut data rasmi terbaru, kadar inflasi Indeks Harga Pengguna (CPI) menurun kepada 2.6 peratus pada Mac, berbanding 2.8 peratus pada Februari.
"Namun persoalan baharu yang perlu dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) ialah bagaimana perubahan dasar perdagangan AS memberi kesan terhadap unjuran inflasi UK," kata Horsfield.
"Keputusan bulan ini dilihat lebih mudah memandangkan hampir semua petunjuk menunjukkan tekanan inflasi UK yang semakin mereda."
Ahli ekonomi berkata pertumbuhan ekonomi UK dijangka perlahan akibat ketidaktentuan yang berterusan - dengan sebahagian perniagaan menangguhkan pelaburan dan pengguna mengurangkan perbelanjaan.
Ada juga berpendapat negara seperti China, yang berdepan caj lebih tinggi ke atas eksport ke AS, akan mengubah haluan perdagangan dan menurunkan harga import ke negara lain, yang boleh membawa kepada harga pengguna lebih rendah di UK.
Digabungkan dengan faktor lain termasuk penyusutan nilai dolar AS dan kejatuhan harga minyak, keadaan ini dijangka menurunkan tekanan inflasi, menurut ahli ekonomi.
Horsfield berkata sementara MPC terus menilai kesan yang mungkin berlaku, "rancangan utamanya adalah untuk meyakinkan orang ramai dan pasaran bahawa pihaknya bersedia bertindak jika perlu."
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami