Bank of Ireland mohon maaf atas kesilapan teknikal

Bernama
Ogos 16, 2023 10:12 MYT
Kesilapan teknikal itu menyebabkan beberapa pelanggan mengeluarkan atau memindahkan wang lebih daripada jumlah dalam akaun mereka. - Reuters
LONDON: Bank of Ireland memohon maaf selepas perkhidmatannya mengalami masalah teknikal menyebabkan beberapa pelanggan mengeluarkan atau memindahkan lebih daripada jumlah dalam akaun mereka, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Aplikasi dan perkhidmatan dalam taliannya berfungsi semula dan sebarang pemindahan atau pengeluaran akan tertera dalam akaun pelanggan.
Pihak bank menggalakkan pelanggan yang menghadapi masalah terbabit untuk menghubungi mereka.
Orang ramai beratur panjang di ATM di beberapa bahagian negara itu pada Selasa dan mesej di media sosial yang tular menggalakkan orang ramai untuk mengeluarkan wang tunai walaupun tidak mempunyai dana dalam akaun mereka.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, bank itu memaklumkan: "Semalam, isu teknikal memberi kesan kepada beberapa perkhidmatan Bank of Ireland.
"Pasukan kami memulihkan perkhidmatan ini semalaman dan semua perkhidmatan tersedia untuk pelanggan pagi ini.
"Kami sedar bahawa isu teknikal bermakna sesetengah pelanggan boleh mengeluarkan atau memindahkan dana melebihi had biasa mereka.
"Pemindahan dan pengeluaran ini akan digunakan pada akaun pelanggan hari ini. Kami menggesa pelanggan yang mungkin menghadapi masalah kewangan yang melepasi had akaun mereka untuk menghubungi kami.
"Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf atas gangguan ini."
-- BERNAMA
#bank of ireland #kesilapan teknikal #pelanggan bank #ATM