LONDON:Bank Pusat England (BOE) menjangkakan vaksinasi COVID-19 di negara itu akan membantu pemulihan pada akhir tahun ini.

Dalam masa yang sama, bank berkenaan mengekalkan kadar faedah dan akan melaksanakan kadar negatif jika pemulihan melemah.

Tambah Gabenor BOE, Andrew Bailey, program vaksinasi yang dilakukan akan turut mengurangkan ketidaktentuan.

Bank Pusat England menetapkan kadar faedah pada 0.1 peratus pada ketika ini.

Ia menjangkakan ekonomi negara akan tumbuh negatif 4.2 peratus pada suku pertama tahun ini.

“Kami sudah maklumkan banyak kali yang kami tidak akan memberikan sebarang petunjuk dan akan menggunakan kadar faedah negatif.

"Apa yang kami nyatakan adalah kami rasa sesuai untuk kadar faedah negatif dijadikan satu 'alat' yang kami boleh gunakan.

“Kami akan bekerjasama dengan bank untuk menggunakan 'alat' ini.

"Namun saya ingin tegaskan, tiada petunjuk kami akan menggunakannya atau bila kami akan menggunakannya.

"Tiada petunjuk langsung,” katanya.

Pada suku kedua tahun lepas, ekonomi UK menguncup 20 peratus akibat sekatan meluas susulan COVID-19.

Tambahnya, pelan bantuan gaji kerajaan adalah penting dalam menyokong ekonomi UK ketika pandemik.

Sehingga kini lebih 10 juta orang dilapor telah menerima vaksin COVID-19 dan dijangka akan membantu untuk mengurangkan sekatan aktiviti ekonomi.

Namun, ketidaktentuan kekal melihat kepada perkembangan COVID-19 termasuk varian baharu.