INTERNATIONAL

Bank Pusat Eropah beri amaran ketidakstabilan kewangan akibat konflik perdagangan

Bernama 21/05/2025 | 14:59 MYT
Laporan ECB menhyatakan, sejak pilihan raya presiden AS 2024, ketidaktentuan meningkat lagi apabila pentadbiran baharu AS mengubah haluan dalam beberapa bidang dasar. - AP
FRANKFURT: Perselisihan kastam dan perpecahan dalam pakatan antarabangsa boleh menjadi ancaman terhadap kestabilan kewangan di zon euro, menurut pandangan Bank Pusat Eropah (ECB).

"Geseran perdagangan yang semakin meningkat dan risiko kemerosotan ekonomi yang berkaitan memberi tekanan terhadap prospek kestabilan kewangan," kata Naib Presiden ECB Luis de Guindos, pada Rabu ketika merumuskan dapatan dalam Laporan Kestabilan Kewangan separa tahunan terkini bank pusat itu.

Risiko kemelesetan ekonomi semakin meningkat, khususnya apabila pasaran saham "masih terdedah kepada pelarasan mendadak dan mendesak," terutamanya memandangkan dasar perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, yang tidak menentu, menurut laporan bank pusat itu, lapor agensi berita Jerman dpa.

"Sejak pilihan raya presiden AS 2024, ketidaktentuan meningkat lagi apabila pentadbiran baharu AS mengubah haluan dalam beberapa bidang dasar," jelas laporan itu.

Sekatan perdagangan dan tarif yang lebih tinggi dijangka menjadi penghalang, khususnya bagi syarikat berorientasikan eksport di Eropah. Jika situasi ini membawa kepada pemberhentian pekerja, ECB percaya risiko kepada bank dan institusi kewangan bukan bank di zon euro boleh meningkat kerana peminjam mungkin menghadapi kesukaran membayar balik hutang.

Pelaburan besar-besaran bernilai berbilion euro yang dirancang oleh Eropah dalam sektor pertahanan juga bukan tanpa risiko, menurut bank pusat itu. Sekalipun pelaburan sebegitu berpotensi merangsang pertumbuhan ekonomi, perbelanjaan pertahanan yang lebih tinggi, digabungkan dengan cabaran struktur lain seperti perubahan iklim, pendigitalan dan populasi yang semakin menua, "boleh memburukkan lagi keadaan fiskal yang sudah pun tegang bagi sesetengah kerajaan zon euro," ECB memberi amaran.

-- BERNAMA

#Bank Pusat Eropah #ecb #perdagangan #ketidakstabilan kewangan #kemerosotan ekonomi