BEBERAPA bank besar global didakwa melakukan pemindahan wang dipercayai daripada sumber haram sepanjang dua dekad hingga 2017.

Menurut laporan BuzzFeed dan beberapa media lain yang memetik dokumen yang diserahkan bank kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS), ia dilakukan walaupun wujud amaran tentang sumber wang tersebut.

Antara bank yang banyak disebut dalam laporan berkenaan ialah HSBC, JP Morgan Chase, Deutsche Bank, Standard Chartered dan Bank of New York Mellon.

Ini termasuk transaksi Low Taek Jho atau Jho Low yang terkait dalam kes 1MDB.

Reuters melaporkan laporan media berkenaan adalah berdasarkan laporan aktiviti mencurigakan yang difailkan bank dan institusi kewangan kepada jaringan penguatkuasaan jenayah kewangan Jabatan Perbendaharaan AS, FinCEN.

Terdapat lebih 2,100 dokumen dari tahun 1999 ke 2017 dengan nilai transaksi AS$2 trilion.

Transaksi tersebut diketengahkan oleh kakitangan pematuhan bank dan diklasifikasi melibatkan dana yang mencurigakan.

Menurut laporan berkenaan, sistem sedia ada tidak mempunyai sumber mencukupi untuk memantau dan mengambil tindakan.

Ini mengakibatkan jumlah wang yang disyaki wang haram memasuki sistem perbankan.

Menurut laporan, bank tersebut turut memindahkan dana milik syarikat luar persisir tanpa mengetahui penerima akhir dana.

Reuters melaporkan antara transaksi termasuk dana daripada individu dan syarikat yang korup di Venezuela, Ukraine dan Malaysia.

Bank lain termasuk HSBC didakwa terlibat dalam pemindahan dana skim piramid.

Susulan laporan berkenaan, saham bank terlibat seperti HSBC dan Standard Chartered mencatatkan kejatuhan.

Menurut HSBC, ia telah mengambil langkah menentang jenayah kewangan sejak 2012.

Standard Chartered dalam kenyataan kepada Reuters menyatakan ia memandang serius peranannya dalam melawan jenayah kewangan dan melabur sejumlah yang besar dalam program pematuhan.