DUNIA

Bantuan merosot ketika serangan di Bandar Gaza meningkat - PBB

Bernama 26/09/2025 | 07:40 MYT
Ratusan ribu rakyat Palestin terperangkap di Gaza akibat serangan berterusan dan lumpuhnya usaha bantuan kemanusiaan. -Gambar fail/AP
NEW YORK: Ketika ratusan ribu rakyat Palestin berusaha menyelamatkan diri daripada serangan di Bandar Gaza, jumlah yang sama terus terperangkap akibat usaha bantuan yang kian lumpuh, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Ratusan ribu rakyat Palestin terperangkap di Gaza akibat serangan berterusan dan lumpuhnya usaha bantuan kemanusiaan
  • Pihak berkuasa Israel menolak akses bantuan ke utara Gaza, menyebabkan misi penting termasuk penghantaran bekalan air dibatalkan
  • Sejak 27 Mei, sekurang-kurangnya 2,340 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan atau bantuan, termasuk di tapak bekalan tentera dan laluan konvoi


Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memaklumkan serangan bertubi-tubi ke atas bangunan kediaman dan infrastruktur terus mengakibatkan angka kematian yang tinggi serta perpindahan penduduk.

"Situasi ini mengancam kesinambungan operasi perkhidmatan menyelamat nyawa termasuk ambulans, kemudahan kesihatan, sokongan rawatan pemakanan dan dapur komuniti.

"Orang awam di Bandar Gaza dan utara Semenanjung Gaza memerlukan sokongan kemanusiaan berskala besar dan berterusan, yang bergantung kepada akses berterusan serta jaminan keselamatan yang boleh dipercayai untuk petugas bantuan," menurut OCHA.

Bagaimanapun, semua usaha pada Khamis untuk menyelaras akses kakitangan dan rakan kongsi ke utara Gaza dinafikan pihak berkuasa Israel, kecuali satu misi yang akhirnya dibatalkan oleh penganjur.

"Keadaan ini menghalang pelaksanaan misi penting termasuk penghantaran bekalan air melalui trak," menurut agensi itu.

Pejabat itu berkata selepas penutupan lintasan sempadan Zikim pada 12 Sept, kadar penolakan pergerakan bantuan kemanusiaan ke utara Gaza meningkat kepada 40 peratus setakat Isnin, berbanding 18 peratus dalam tempoh 11 hari sebelumnya.

Di selatan Semenanjung Gaza, OCHA berkata pasukan kemanusiaan mengumpul bekalan dari lintasan Kerem Shalom/Karem Abu Salem, menghantar makanan, bekalan perubatan dan bahan api ke kawasan yang amat memerlukan sambil menjalankan penilaian lapangan untuk menyokong perancangan kemanusiaan selanjutnya.

PBB turut menerima laporan mengenai orang ramai yang terbunuh atau cedera ketika mencari makanan atau bantuan.

Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia memaklumkan antara 17 Sept dan Isnin lalu, seramai 21 rakyat Palestin dilaporkan maut, termasuk di sekitar tiga lokasi bekalan tentera dan sepanjang laluan Morag di selatan Khan Younis.

Pejabat itu turut mendedahkan bahawa sejak 27 Mei, sekurang-kurangnya 2,340 orang terbunuh ketika cuba mendapatkan makanan atau bantuan, dengan lebih separuh daripadanya dibunuh berhampiran tapak bekalan tentera manakala selebihnya di sepanjang laluan konvoi.

-- BERNAMA


#bantuan kemanusiaan #PBB #Gaza #Israel