DUNIA

Bantuan PBB merosot, Rohingya perlu berdikari

Bernama 29/01/2026 | 13:54 MYT
Pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus berkata, krisis Rohingya tidak lagi menerima perhatian antarabangsa yang mencukupi, terutamanya pelarian yang berlindung di Cox's Bazar. - Reuters
DHAKA (Bangladesh): Seorang pegawai pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa peningkatan keupayaan berdikari dan peluang sara hidup bagi pelarian Rohingya yang tinggal di wilayah Cox's Bazar, tenggara Bangladesh, susulan "penurunan mendadak" bantuan kemanusiaan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kenyataan itu dibuat semasa pertemuan pada Rabu antara pemimpin sementara Bangladesh, Muhammad Yunus dan wakil negara baharu Agensi Pelarian PBB (UNHCR) Ivo Freijsen, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Yunus pada Khamis.

Freijsen menekankan keperluan untuk memperkukuh inisiatif keupayaan berdikari di penempatan Rohingya ekoran kekurangan dana yang semakin mengekang operasi kemanusiaan.

Yunus berkata krisis Rohingya tidak lagi menerima perhatian antarabangsa yang mencukupi dan menggesa agensi pelarian PBB agar mengekalkan penglibatan aktif bagi memudahkan kepulangan selamat pelarian.

Beliau berkata penghantaran pulang lebih satu juta pelarian Rohingya ke tanah air mereka di Negeri Rakhine, Myanmar "kekal sebagai satu-satunya penyelesaian yang berdaya maju dan mampan kepada krisis itu."

Bangladesh menempatkan lebih 1.3 juta pelarian Rohingya di sepanjang pantai tenggaranya sejak mereka melarikan diri daripada tindakan keras ketenteraan di Myanmar pada Ogos 2017. Tiada proses penghantaran pulang berlaku sejak itu, manakala pembiayaan antarabangsa untuk sokongan kemanusiaan terus merosot.

Program Makanan Dunia PBB (WFP) mengurangkan catuan makanan untuk pelarian Rohingya pada 2023 dan terus melaraskan bantuan sehingga 2025 berikutan pengurangan pembiayaan global serta sumbangan penderma yang menurun.

Sebelum ini, WFP mengurangkan catuan makanan sehingga separuh akibat kekurangan dana yang serius, sebahagiannya didorong oleh keputusan pentadbiran Amerika Syarikat untuk mengurangkan sokongan kepada Agensi Pembangunan Antarabangsa Amerika Syarikat (USAID), penyedia bantuan utama kepada pelarian Rohingya.

Catuan makanan kemudiannya dipulihkan susulan ikrar pembiayaan, namun ketidaktentuan masih berterusan.

Menurut WFP, tanpa pembiayaan baharu, bantuan makanan untuk pelarian Rohingya berdepan gangguan besar bermula April tahun ini.

-- BERNAMA

#PBB #bantuan kemanusiaan #Rohingya #Bangladesh #Muhammad Yunus #Cox's Bazar