BEIJING: Menerusi sokongan penuh China, Arab Saudi dan Iran berjaya mengadakan dialog pada 6 hingga 10 Mac lalu di sini, sekali gus menyaksikan Perjanjian Beijing dimeterai oleh ketiga-tiga pihak.

Menurut kenyataan bersama, Arab Saudi dan Iran bersetuju untuk memulihkan hubungan diplomatik, menegaskan usaha bersama pihak ketiga, memelihara norma asas hubungan antarabangsa selain menggalakkan kedamaian dan keamanan antarabangsa serta serantau.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata pemulihan hubungan kedua-dua negara berjiran itu akan mewujudkan kestabilan di Teluk.

Pada masa sama, beliau turut menghargai usaha China yang menggalakkan dialog ke arah menjernihkan semula hubungan antara satu sama lain.

Menurut Majlis Arab, perjanjian terbabit bukan sahaja kondusif bagi pemulihan kestabilan Asia Barat dan penyelesaian krisis yang masih belum diselesaikan, tetapi juga membantu dalam pemeliharaan kedamaian dan keamanan rakyat dunia.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hussein Ibrahim Taha berharap perjanjian berkenaan kondusif bagi memperkukuh kedamaian, keamanan dan kestabilan serantau, sekali gus menjadi penjana baharu kepada kerjasama dalam pertubuhan.

Bagi Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk, Jasem Al-Budaiwi, beliau mengalu-alukan semua usaha ke arah memperkukuh keamanan dan kestabilan serantau serta menyokong kestabilan setempat dan kemakmuran rakyat.

Pejabat Presiden Palestin pula turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan positif China dalam mencapai perjanjian dan berharap agar ia dapat mencipta suasana yang positif bagi mewujudkan kestabilan serantau.

Pada hari sama, Kementerian Luar Palestin juga mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan perjanjian itu akan membanteras "hantu peperangan" di Asia Barat.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan Tertinggi Iran merangkap wakil Iran yang menandatangani perjanjian terbabit, Ali Shamkhani percaya bahawa persetujuan memulihkan hubungan diplomatik mampu menggalakkan kestabilan dan keamanan setempat.

Malah, beliau juga memuji peranan bersifat membina yang dipamerkan China.

Menteri Negara merangkap Penasihat Keselamatan Arab Saudi, Musaed bin Mohammed Al-Aiban yang turut menandatangani perjanjian itu berkata pihaknya berusaha mengintensifkan keamanan dan kestabilan serantau dan dunia, menjunjung prinsip kejiranan baik dan menyelesaikan perselisihan menerusi dialog.

"Kami (Arab Saudi) mengucapkan terima kasih kepada China yang menjadi jambatan bagi dialog antara Arab Saudi dengan Iran," katanya.

-- BERNAMA