'Bapa bom nuklear' Pakistan, Abdul Qadeer meninggal dunia

Astro Awani
Oktober 10, 2021 21:44 MYT
Abdul Qadeer di luar perkarangan rumahnya di Islamabad pada 2009. - Foto REUTERS/Mian Khursheed
'BAPA bom nuklear' Pakistan, Abdul Qadeer Khan, meninggal dunia pada usia 85 tahun, selepas menerima rawatan di hospital akibat dijangkiti COVID-19.
Saintis berkenaan dinobat sebagai wira negara kerana berjaya menjadikan negara itu sebagai negara Islam pertama yang mempunyai kuasa nuklear.
Namun beliau turut dituduh oleh negara barat sebagai individu bertanggungjawab menyeludup teknologi nuklear kepada negara lain seperti Korea Utara dan Iran.
Sejurus selepas berita pemergiannya itu, Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata negara berkenaan telah kehilangan seorang 'ikon kebangsaan'.

Deeply saddened by the passing of Dr A Q Khan. He was loved by our nation bec of his critical contribution in making us a nuclear weapon state. This has provided us security against an aggressive much larger nuclear neighbour. For the people of Pakistan he was a national icon.

— Imran Khan (@ImranKhanPTI) October 10, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Beliau disangjungi oleh rakyat negara ini atas sumbangannya menjadikan kami negara yang mempunyai kuasa nuklear," katanya dalam ciapan di akaun Twitter miliknya.
Dikenali sebagai AQ Khan, saintis berkenaan membangunkan loji kuasa nuklear pertama Pakistan di Kahuta, berdekatan Islamabad.
Pada 1998, Pakistan telah berjaya menjalankan ujian nuklear pertama negara itu.
Namun tidak lama selepas itu, Abdul Qadeer ditahan pada 2004 selepas dituduh berkongsi teknologi nuklear secara haram dengan Iran, Libya dan Korea Utara.
Beliau diberi pengampunan oleh bekas Presiden Pervez Musharraf pada 2009 namun diperintahkan menjalani tahanan di rumah.
#bapa bom nuklear #Abdul Qadeer Khan #COVID-19 #meninggal dunia