Bapa bunuh anak kerana kari ayam

Sinar Harian
April 11, 2023 00:00 MYT
Suspek mencapai kayu dan memukul anaknya yang menjadi punca kematian mangsa. - Gambar hiasan
BENGALURU: Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas dipukul dengan objek tumpul oleh bapanya sendiri dalam kejadian di negeri Karnataka, India baru-baru ini.
Insiden di daerah Dakshina Kannada itu dikatakan berpunca daripada pertengkaran mulut selepas mangsa memarahi bapanya kerana menghabiskan hidangan kari ayam.
"Mangsa yang baru pulang ke rumah tidak sempat merasai hidangan kari ayam selepas ia habis dimakan oleh bapanya.
"Situasi itu mencetuskan pertengkaran mulut yang membawa kepada serangan fizikal antara kedua-dua beranak tersebut.
"Suspek mencapai kayu dan memukul anaknya yang menjadi punca kematian mangsa," kata pegawai polis tempatan.
Susulan itu, anggota polis yang bergegas ke rumah dua beranak itu menahan bapa mangsa.
"Kertas siasatan jenayah telah dibuka dan lelaki warga emas itu akan didakwa dengan tuduhan membunuh," ujarnya. - Sinar Harian memetik agensi
#kari ayam #pertengkaran mulut #bapa bunuh anak #serangan fizikal