Bapa rogol bayi 1 tahun, muat naik video ke 'dark web'

Agensi
Julai 14, 2019 07:37 MYT
Lockhart dijatuhi hukuman penjara 70 tahun selepas disabitkan atas tuduhan merakam dan kemudian memuat naik video rogol anaknya ke dark web. -Gambar hiasan
Seorang bapa sering dilihat sebagai lelaki yang bertanggungjawab melindungi keluarga di bawah jagaannya.
Namun berbeza dengan apa yang berlaku di Florida, Amerika Syarikat apabila seorang bapa disabitkan atas kesalahan merogol bayi perempuannya yang berusia satu tahun.
Tidak cukup dengan itu, lelaki itu juga disabitkan atas tuduhan merakam dan kemudian memuat naik video berkenaan ke ‘dark web’ iaitu laman web yang tidak dipantau dan dipenuhi dengan aktiviti jenayah.
Video tersebut dimuat naik ke forum ‘dark web’ menggunakan nama samaran ‘Strangewood’ dan ‘Hardwood’, menurut laporan portal berita DailyStar.
Ketika perbicaraannya, James Lockhart, 31, dari Bradenton, Florida mengaku bersalah atas kesalahan menerbit, mengedar dan memiliki video rakaman aksi rogol anaknya di antara Mac 2016 dan Februari 2018.
Dia turut mengaku bercadang menerbitkan lebih banyak video seumpamanya sebelum ditangkap.
Ketika serbuan pada Oktober, pihak berkuasa menemukan tiga video dan 4,000 gambar membabitkan penderaan kanak-kanak di rumahnya.
Isteri Lockhart mengesahkan tertuduh sebagai pelaku di dalam video berkenaan berdasarkan tangan dan anak patung di dalam rakaman itu.
Mangsa di dalam video tersebut pula disahkan sebagai adalah anak perempuannya.
Mahkamah menjatuhi hukuman penjara 70 tahun terhadap Lockhart atas tindakan kejamnya terhadap mangsa.
#Bradenton #Dark Web #Florida #James Lockhart #Kanak-kanak #pornografi #rogol #rogol anak sendiri