LONDON: Selang sehari menyatakan dirinya tidak akan mengaku kalah, Liz Truss akhirnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri United Kingdom selepas 45 hari menyusun strategi politiknya.

Perkembangan itu dilihat bertitik-tolak daripada penyusutan kuasa politiknya susulan pembentangan belanjawan negara yang buruk pada bulan lalu.

Truss dalam satu kenyataan di pekarangan Downing Street: “Kami membayangkan visi ekonomi bercukai rendah dan berketumbuhan tinggi yang boleh dimanfaatkan menerusi Brexit.

"Saya bagaimanapun menyedari, berdasarkan situasi, saya tidak mampu meneruskan mandat sebagai yang telah dipilih oleh Parti Konservatif. Oleh itu, saya telah memaklumkan kepada baginda Raja (Charles III) untuk mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua Parti Konservatif."

Pengunduran Truss itu adalah selepas satu mesyuarat bersama Grahan Brady, iaitu ahli politik Konservatif yang bertanggungjawab dalam hal undian kepimpinan dan rombakan.

Brady mempengerusikan 1922 Committee, iaitu kumpulan ahli-ahli Parlimen Konservatif tanpa jawatan menteri, yang boleh mengajukan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

"Segalanya sudah berakhir," ujar sumber yang dipetik portal berita The Guardian.

Truss, yang menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah United Kingdom, dilihat 'tewas' dengan tekanan daripada ahli-ahli Parlimen Tory selepas peletakan jawatan Setiausaha Negara Suella Braverman, selain daripada kekacauan politik dalaman Parti Konservatif sendiri.

Masih belum jelas sama ada Truss akan berundur serta-merta atau pada tempoh tertentu yang bakal diumumkan.

Sehubungan perkembangan mengejutkan itu, Ketua Pembangkang Parti Buruh Keir Starmer menggesa pilihan raya diadakan dalam masa terdekat.