Bayi kembar dilarikan monyet, satu ditemukan mati di tepi parit

Astro Awani
Februari 15, 2021 00:10 MYT
Seorang bayi perempuan yang baharu berusia lapan hari maut selepas dilarikan sekumpulan monyet di Bandar Thanjavur, Tamil Nadu. -Reuters
TAMIL NADU : Seorang bayi perempuan yang baharu berusia lapan hari maut selepas dilarikan sekumpulan monyet di bandar Thanjavur, Tamil Nadu, India.
Kejadian berlaku ketika bayi malang itu dan kembarnya sedang tidur di rumah pada Sabtu, lapor India Today.
Ibunya, Buvaneswari hanya menyedari kejadian apabila mendapati anak kembarnya tiada di tempat tidur.
Wanita yang mencari kedua-dua bayinya itu terkejut dan menjerit apabila mendapati beberapa monyet di bumbung rumahnya.
Dipercayai kumpulan monyet itu bertindak masuk ke dalam rumah melalui bumbung dan melarikan kedua-dua bayi berkenaan.
Jiran yang terdengar jeritan Buvaneswari bergegas membantu, namun hanya berjaya menyelamatkan salah seorang bayi kembar itu yang ditinggalkan di atas bumbung.
Mayat seorang lagi bayi yang dilarikan monyet dijumpai dekat sebuah parit di bandar itu.
Pasukan perubatan mengesahkan kematian bayi malang itu dan kes sedang disiasat.
#bayi dilarikan monyet #bayi lapan hari #Thanjavur #Tamil Nadu #Buvaneswari #masuk melalui bumbung #mayat tepi parit #monyet #kembar