Bayi mati kesejukan setelah dibiar 5 jam 'hirup udara segar' di balkoni

Astro Awani
Januari 7, 2020 22:27 MYT
Bayi lelaki berusia 7 bulan itu yang diletakkan dalam kereta sorongnya terdedah kepada suhu -7 darjah Celsius selama lima jam. -Foto Sinar Harian
Seorang bayi lelaki meninggal dunia setelah dibiarkan terdedah kepada suhu bawah 7 darjah Celsius selama lima jam.
Dalam kejadian di wilayah Timur Jauh, Khabarovsk pada 5 Januari lalu, bayi berusia 7 bulan itu diletakkan dalam kereta sorong oleh ibu bapanya sendiri.
"Ibu bapanya mahu dia tidur dengan mendapatkan udara segar," kata penyiasat Rusia.
Menurut laman berita Lenta, laporan awal mendapati kematian bayi di bandar Nikolayevsk-on-Amur itu disebabkan oleh hipotermia yang berlaku apabila badan terdedah kepada suhu sejuk dalam tempoh yang lama.
Susulan insiden, Kementerian Kesihatan wilayah terbabit bertindak menasihatkan orang ramai supaya tidak membiarkan anak masing-masing di luar rumah tanpa pengawasan orang dewasa.
"Sentiasa pantau di mana dan dengan siapa anak anda. Kanak-kanak mudah terdedah dengan bahaya pada musim sejuk dan suhu rendah ketika ini," kata kementerian tersebut menerusi Instagram.
Ia juga mendakwa ramai kanak-kanak di Khabarovsk yang menjadi mangsa kecuaian ibu bapa berkaitan langkah keselamatan asas.
Difahamkan, perbuatan membiarkan anak tidur di luar atas alasan untuk mendapatkan udara segar walaupun ketika musim sejuk didakwa dapat mengelakkan serangan batuk dan selesema.
Teori itu turut diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa di negara Nordic seperti Finland dan Norway yang percaya anak mereka akan tidur nyenyak di tempat terbuka.
#bayi ditinggalkan di balkoni #bayi mati kesejukan #Khabarovsk #mangsa kecuaian #tanpa pengawasan orang dewasa #udara segar