Bayi nyaris maut terminum susu bercampur racun lipas dibancuh ayah

Agensi
Februari 16, 2019 22:57 MYT
Si bapa tidak segaja membancuh serbuk racun itu kerana beranggapan bahawa ia adalah serbuk kalsium. - Foto: Freeimages.com
Seorang bapa mengalami detik cemas apabila anak perempuannya hampir maut selepas terminum susu yang dibancuh dengan serbuk racun lipas.
Media negara itu, China News Service melaporkan kejadian itu berlaku di Hubei, di wilayah tengah China.
Bapa kepada anak perempuan berusia setahun yang dinamakan sebagai Doudou itu memberitahu dia tidak sengaja membancuh serbuk racun itu kerana beranggapan ia ialah serbuk kalsium.
Zhou, 28, mengaku kesilapannya akibat tergesa-gesa membuat susu anaknya selepas bangun dari tidur.
Kekeliruan itu terjadi kerana kediaman mereka sedang diubah suai dengan barang di dalam rumah berada dalam keadaan berselerak.
Menyedari kesilapan itu, dia segera membawa anaknya ke hospital untuk menerima rawatan kecemasan.
Mujur setelah menerima rawatan rapi selama dua hari, anak perempuannya menunjukkan tanda-tanda positif dan dibenarkan pulang.
#China #keracunan #racun lipas #serbuk racun #susu anak