Festival muzik tahunan terbesar di dunia, BBC Proms 2018 mula bergema menggegarkan Royal Albert Hall (RAH) London pada Jumaat.

Ia menampilkan siri konsert harian yang mengetengahkan muzik klasik, jazz dan pelbagai lagi persembahan yang akan berlangsung sehingga September.

Festival muzik tersebut dinamakan sempena konsert ‘promenade’ di mana tiket kepada para pengunjung yang ingin berdiri sepanjang konsert tersebut dijual pada hari pertunjukan muzikal berkenaan.

Festival tahun ini membawakan 42 persembahan yang akan membuat penampilan buat julung-julung kalinya selain sembilan ‘prom’ larut malam.




Selain sekurang-kurangnya satu konsert akan diadakan di RAH setiap hari, terdapat juga dua lokasi baharu – gedung kereta api di utara London dan bangunan yang sebelum ini merupakan dewan latihan tentera di Lincoln.

Pengarah BBC Proms, David Pickard berkata pemain piano dari Beijing, Wang Yujia yang akan mempersembahkan Piano concerto No.3 ciptaan Prokofiev dan orkestra yang mempunyai reputasi global adalah antara persembahan utama tahun ini.

“Tahun ini, kumpulan orkestra tersohor, Berlin Philharmonic Orchestra dan Boston Symphony Orchestra turut menyertai festival ini,” kata Pickard.


BBC Proms 2018 memperingati pelbagai peristiwa yang berlaku dalam tempoh 100 tahun yang lalu, termasuk kelahiran Leonard Bernstein, seorang pemuzik yang berpengaruh pada abad ke-20 dan karyanya sebagai konduktor, komposer dan pemain piano dalam persembahan muzikal West Side Story and On The Town.

BBC Proms 2018 berlangsung dari Jumaat hingga 8 September ini, dengan persembahan konsert selama lapan minggu dan ‘Last Night of the Proms’ sebagai acara kemuncaknya.