Skip to main content

Dunia

Beberapa kawasan di Indonesia terus catat kualiti udara berbahaya

Pasukan bersama terus menangani kebakaran hutan dan tanah menerusi pemadaman kebakaran darat, pengeboman air, rondaan udara serta usaha pencegahan dan kawalan di kawasan keutamaan. - Foto REUTERS
Pasukan bersama terus menangani kebakaran hutan dan tanah menerusi pemadaman kebakaran darat, pengeboman air, rondaan udara serta usaha pencegahan dan kawalan di kawasan keutamaan. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kualiti udara berbahaya akibat kebakaran hutan dan tanah terus menjejaskan wilayah Kalimantan dan Sumatera dengan 437 titik panas dikesan pada Jumaat.
  • Kementerian Perhutanan Indonesia melaporkan operasi pemadaman melibatkan 61 pesawat, termasuk pengeboman air, rondaan udara dan pengubahsuaian cuaca di enam wilayah keutamaan.
  • Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan titik panas kepada 122, manakala Sumatera Selatan dan Jambi masing-masing merekodkan 107 dan 15 titik panas.

JAKARTA: Kualiti udara berbahaya terus menjejaskan sebahagian wilayah Kalimantan dan Sumatera Indonesia susulan kebakaran hutan dan tanah, dengan 437 titik panas berkeyakinan tinggi dikesan di seluruh negara pada Jumaat.

Kementerian Perhutanan Indonesia (Kemenhut), memetik data pemantauan oleh Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), berkata sebahagian Kalimantan Tengah, Sumatera Selatan dan Jambi terus merekodkan kualiti udara daripada sangat tidak sihat hingga berbahaya.

“Pasukan bersama terus menangani kebakaran hutan dan tanah menerusi pemadaman kebakaran darat, pengeboman air, rondaan udara serta usaha pencegahan dan kawalan di kawasan keutamaan,” kata kementerian itu menerusi media sosial.

Mengikut klasifikasi kualiti udara BMKG, keadaan yang sangat tidak sihat sepadan dengan kepekatan PM2.5 iaitu 150.5 hingga 250.4 mikrogram setiap meter padu, manakala tahap berbahaya melebihi 250.4 mikrogram setiap meter padu, dengan PM2.5 merujuk pada zarah bawaan udara halus berukuran 2.5 mikrometer atau lebih kecil.

Kementerian itu berkata 61 pesawat masih dikerahkan untuk operasi memadam kebakaran, rondaan udara dan ubah suai cuaca.

Angka itu terdiri daripada 44 pesawat pengeboman air dan 17 ditugaskan untuk rondaan serta pengubahsuaian cuaca, dengan 55 beroperasi di enam wilayah keutamaan dan enam di tempat lain.

Menurut sistem pemantauan kementerian, Kalimantan Tengah mencatatkan 122 titik panas setakat 9 malam waktu tempatan pada Jumaat, meningkat daripada 86 pada Khamis, manakala Sumatera Selatan merekodkan 107, turun daripada 130.

Jambi menunjukkan peningkatan daripada tiga kepada 15 titik panas manakala Kalimantan Barat meningkat daripada 12 kepada 13 dan Kalimantan Selatan menurun daripada 37 kepada 13.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement