INTERNATIONAL

Beberapa lapangan terbang utara India ditutup, syarikat penerbangan gantung operasi

Astro Awani 07/05/2025 | 00:30 MYT
Penduduk tempatan dilihat melarikan diri dari kawasan berhampiran lokasi serangan peluru berpandu yang disyaki dilancarkan India di sekitar Muzaffarabad. - Foto AP
KUALA LUMPUR: Beberapa buah lapangan terbang di utara India ditutup pada awal pagi Rabu susulan konflik bersenjata yang semakin memuncak di wilayah Kashmir.
Antara lapangan terbang yang ditutup adalah Dharamshala (DHM), Leh (IXL), Jammu (IXJ), Srinagar (SXR) dan Amritsar (ATQ).
Memetik perkongsian syarikat tambah rendah India, SpiceJet, penutupan itu merupakan penutupan penuh di mana ia melibatkan penerbangan masuk, pelepasan dan sambungan.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang makluman berkenaan tempoh penutupan tersebut.
Sementara itu, syarikat penerbangan antarabangsa, Qatar Airways bertindak menggantung sementara semua penerbangan ke Pakistan susulan penutupan ruang udara negara itu.
Dalam perkongsian di media sosialnya, Qatar Airways berkata pihaknya sedang memantau rapat situasi tersebut.
Katanya, keselamatan penumpang dan kakitangan menjadi keutamaan utama.
Pengembara yang ingin mendapatkan maklumat lanjut, boleh melayari http://qatarairways.com atau menghubungi pusat panggilan di talian +974 4144 5555.
#lapangan terbang #konflik bersenjata #Qatar Airways #keselamatan