INTERNATIONAL

Beberapa orang maut dalam insiden berebut bantuan di gudang PBB di Gaza

Bernama 29/05/2025 | 06:02 MYT
Dua individu dilaporkan maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan. - Foto Reuters
TEL AVIV: Kejadian berebut bantuan di sebuah gudang milik Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Semenanjung Gaza telah mengakibatkan beberapa orang maut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Rabu.


Ringkasan AI
  • Insiden berebut bantuan di Gaza: Gudang Program Makanan Sedunia (WFP) di Semenanjung Gaza diserbu oleh penduduk yang kelaparan, mengakibatkan kesesakan teruk serta kematian empat individu, termasuk dua akibat tembakan.
  • Keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing: Susulan sekatan bantuan selama beberapa bulan oleh Israel, penduduk Gaza berada dalam keadaan terdesak, menyebabkan kejadian penjarahan dan serbuan di pusat agihan bantuan.
  • Seruan WFP: WFP menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan bantuan makanan bagi mengelakkan kebuluran serta mengurangkan ketegangan yang semakin meningkat.


Sumber perubatan di Hospital al-Aqsa di Deir al-Balah melaporkan dua individu maut akibat dihimpit dalam kesesakan orang ramai manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan.

WFP mengesahkan insiden berebut bantuan di sebuah gudangnya yang terletak di tengah-tengah wilayah Gaza yang dilanda konflik.

Menurut kenyataan yang disiarkan di platform X, "gerombolan orang ramai yang kelaparan" dilaporkan menyerbu gudang itu untuk mendapatkan bekalan makanan yang telah disediakan lebih awal untuk diagihkan.

Pertubuhan itu pada awalnya melaporkan dua kematian dan ramai yang cedera dalam insiden berkenaan.

Saksi kejadian memaklumkan berlaku kesesakan teruk di pintu utama gudang itu.

Terdapat juga laporan bahawa beberapa individu telah merobohkan dinding logam gudang untuk masuk ke dalam premis. Video di media sosial menunjukkan ramai orang menyerbu dan menjarah gudang itu sambil menjerit.

Susulan sekatan bantuan selama beberapa bulan oleh Israel yang hanya dilonggarkan sedikit baru-baru ini, ramai penduduk di wilayah itu berada dalam keadaan terdesak.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, turut dilaporkan kejadian penjarahan dan serbuan di pusat agihan bantuan baharu di kawasan berkenaan.

Menurut WFP, pihaknya "secara konsisten memberi amaran mengenai keadaan di lapangan yang semakin meruncing serta risiko akibat sekatan bantuan kemanusiaan kepada golongan yang kelaparan dan amat memerlukan bantuan."

"Gaza memerlukan peningkatan segera bantuan makanan. Ini satu-satunya cara untuk meyakinkan orang ramai bahawa mereka tidak akan kebuluran," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA




#Gaza #penduduk maut #gudang PBB #program makanan sedunia