ISTANBUL: Beberapa rakyat Iran termasuk kanak-kanak terbunuh manakala lebih 50 penduduk cedera dalam gelombang terbaharu serangan Amerika Syarikat (AS) lewat Selasa, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Kementerian Kesihatan Iran.
“Menurut maklumat yang diberikan kepada saya oleh rakan-rakan di Universiti Sains Perubatan Hormozgan, beberapa rakyat kami terbunuh di Kampung Kouhestak.
“Seorang kanak-kanak antara yang terbunuh.
"Bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon ketika ini terputus. Lebih 50 penduduk turut cedera. Maklumat lanjut akan menyusul,” kata Ketua Pusat Perhubungan Awam dan Maklumat kementerian itu Hossein Kermanpour menerusi X.
Sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan AS ketika sebuah majlis perkahwinan berlangsung di bandar Sirik, selatan Iran, menurut agensi berita Fars yang memetik pegawai.
Daerah Konarak serta bandar Jask dan Bandar Lengeh turut menjadi sasaran serangan.
Pasukan AS turut menyerang sebuah “lapangan terbang awam” di bandar Jiroft, tenggara Iran, menurut penyiar kerajaan IRIB.
Beberapa letupan turut kedengaran di timur bandar pelabuhan Bandar Abbas di wilayah Hormozgan pada Selasa, menurut penyiar itu.
Lebih lima letupan kedengaran di sekitar Kampung Masan di Pulau Qeshm, manakala empat lagi letupan dilaporkan kedengaran dari arah Selat Hormuz di pulau berkenaan.
Serangan itu berlaku ketika ketegangan antara Tehran dan Washington kekal memuncak sejak perang bermula dengan serangan ke atas Iran pada lewat Februari.
-- BERNAMA-ANADOLU