DUNIA
Beijing keluarkan amaran hujan lebat, banjir ekoran hujan lebat

Pihak berkuasa di Beijing mengeluarkan amaran berkenaan hujan lebat dan banjir pada Isnin, apabila sebahagian kawasan ibu negara China itu bersiap sedia menghadapi hujan lebat berterusan. - Foto AP
BEIJING: Pihak berkuasa di Beijing mengeluarkan amaran berkenaan hujan lebat dan banjir pada Isnin, apabila sebahagian kawasan ibu negara China itu bersiap sedia menghadapi hujan lebat berterusan, menimbulkan kebimbangan terhadap risiko banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan pergunungan, lapor Xinhua.
Perkhidmatan meteorologi bandar itu menaikkan tahap amaran hujan lebat daripada jingga kepada merah, iaitu tahap tertinggi dalam sistem amaran empat peringkat di China, pada tengah hari Isnin. Ramalan menunjukkan hujan lebat akan berlaku dari 8 malam hingga pagi Selasa. Kebanyakan kawasan dijangka menerima lebih 150 milimeter (mm) hujan dalam tempoh enam jam, manakala sesetengah kawasan melebihi 300 mm.
Jabatan meteorologi turut mengeluarkan amaran risiko tinggi terhadap banjir kilat, tanah runtuh dan aliran lumpur di kawasan berbukit dan bergunung-ganang, manakala kawasan rendah berkemungkinan menghadapi masalah takungan air yang serius. Penduduk dinasihatkan agar mengambil langkah berjaga-jaga.
Sejak 26 Julai, hujan berterusan yang dipengaruhi oleh udara panas dan lembap dari pinggir sistem tekanan tinggi subtropika melanda Daerah Miyun, Huairou dan Yanqing di Beijing. Kawasan barat laut Miyun, yang terletak di timur laut Beijing, mengalami hujan amat lebat, dengan jumlah melebihi 300 mm. Hujan ini mencetuskan banjir dan tanah runtuh, menjejaskan beberapa kampung serta mengganggu jalan raya, bekalan elektrik dan komunikasi di beberapa kawasan.Lebih 3,000 penduduk dipindahkan dari Miyun pada Ahad, termasuk kira-kira 100 orang dari Kampung Xiwanzi dan Gaolingzi selepas rumah mereka dinaiki air.
Cui Di, Timbalan Ketua Perbandaran Shicheng, bertungkus-lumus sepanjang malam untuk membantu pemindahan penduduk ke kawasan lebih selamat.
"Hujan lebat melanda pada Sabtu malam dan menyebabkan beberapa rumah dinaiki air. Menjelang pagi Ahad, penduduk dari kawasan yang paling terjejas dipindahkan dalam tiga kumpulan," kata Cui. "Dalam keadaan kecemasan seperti ini, semuanya sukar bagi semua orang. Kami cuba sedaya upaya untuk menjadikan tempat perlindungan selesa bagi mengurangkan kebimbangan mereka."
Cui berkata pihak berkuasa tempatan menyediakan keperluan asas seperti tilam, selimut, roti dan telur kepada penduduk yang terjejas.
Beberapa empangan di sekitar bandar kini melepaskan air untuk menguruskan paras yang semakin meningkat dan pihak berkuasa memberi amaran kepada orang awam agar menjauhi bahagian sungai yang berarus deras.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami