Bekalan bantuan di Afghanistan semakin berkurangan - PBB

Astro Awani
Ogos 28, 2021 01:00 MYT
Anggota tentera memeriksa dokumen orang awam yang akan menaiki penerbangan keluar dari Afghanistan, di Lapangan Terbang Hamid Karzai, Kabul, Afghanistan, 25 Ogos, 2021. (Foto AP)
PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan pada Jumaat, bekalan bantuan di Afghanistan kini semakin berkurangan.
Menurut jurucakap Setiausaha Agung PBB Stephane Dujarric, tiada lagi bantuan dihantar menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai, Kabul sejak Taliban menguasai bandar itu.
"Kami tidak menerima bantuan kemanusiaan menerusi lapangan terbang itu sejak perubahan situasi di Kabul.
"Terdapat beberapa konvoi oleh Program Makanan Sedunia (WFP) ke Afghanistan, dari Pakistan.
"Kami sudah mempunyai beberapa bantuan yang disusun sebelum ini dan berjaya diedarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Pusat bantuan Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) kini bekerja di seluruh negara, tetapi bekalan semakin berkurangan.
"Oleh sebab itu, penting untuk kita mempunyai lapangan terbang yang berfungsi di Kabul.
"Kami juga sedang meneliti kaedah penghantaran yang lain," kata Dujarric di New York pada Jumaat.
Jelasnya, PBB akan kekal komited memberi bantuan kepada warga Afghanistan.
#Afghanistan #Stephane Dujarric #lapangan terbang antarabangsa kabul #bantuan kemanusiaan