DUNIA

Bekalan bantuan mencukupi untuk dibawa masuk ke Gaza - UNRWA

Bernama 11/10/2025 | 02:30 MYT
Juliette Touma berkata "agensi itu mempunyai bekalan mencukupi di Jordan dan Mesir untuk mengisi 6,000 trak yang bersedia memasuki Gaza." - X Juliette Touma
GENEVA: Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada Jumaat mengesahkan bahawa ia mempunyai bekalan mencukupi yang disimpan di Jordan dan Mesir bagi mengisi 6,000 buah trak, sedia dihantar ke Semenanjung Gaza sebaik sahaja akses diberikan.

Menurut Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Pengarah Komunikasi UNRWA Juliette Touma berkata "agensi itu mempunyai bekalan mencukupi di Jordan dan Mesir untuk mengisi 6,000 trak yang bersedia memasuki Gaza, namun tiada sebarang kemajuan dicapai untuk merealisasikannya."

Touma menyeru pihak berkuasa membenarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk UNRWA melaksanakan misi kemanusiaannya, sambil menegaskan bahawa adalah "amat sukar, malah mustahil, membayangkan tindak balas kemanusiaan yang mencukupi di Gaza tanpa peranan UNRWA."

Beliau menekankan peranan penting agensi itu dalam menyambung semula pendidikan bagi 660,000 kanak-kanak yang tidak bersekolah hampir dua tahun, separuh daripadanya merupakan pelajar UNRWA sebelum perang Israel di Gaza bermula pada 7 Okt 2023.

Touma turut menegaskan bahawa pendidikan amat penting bukan sahaja untuk membantu kanak-kanak mengatasi trauma dan kembali "menikmati sisa-sisa zaman kanak-kanak mereka," tetapi juga bagi membekalkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk membina semula masyarakat.

"Apabila keamanan kembali ke wilayah Gaza yang dilanda perang, kanak-kanak ini akan menjadi tonggak utama dalam membina semula masa depan Gaza," katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa UNRWA kekal sebagai pertubuhan kemanusiaan terbesar yang beroperasi di Gaza dengan kira-kira 12,000 kakitangan dipercayai oleh komuniti tempatan.

-- BERNAMA


#UNRWA #Gaza #bekalan #Juliette Touma