[TERKINI] Skandal 1MDB: Bradley Hope Dedah Jho Low Hidup Mewah di Shanghai – Dapatkan Perincian Di Sini
INTERNATIONAL

Bekalan perubatan di Gaza kritikal - PBB

Bernama 27/05/2025 | 14:10 MYT
Gaza kini berdepan kekurangan bekalan perubatan kritikal, dengan hanya enam daripada 22 pusat kesihatan kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih beroperasi. - Gambar fail/REUTERS
ANKARA: Gaza kini berdepan kekurangan bekalan perubatan kritikal, dengan hanya enam daripada 22 pusat kesihatan kendalian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) masih beroperasi di tengah-tengah serangan berterusan Israel ke atas wilayah itu, kata Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

"Bekalan perubatan penting kini berada pada tahap amat kritikal.

"Hanya enam daripada 22 pusat kesihatan UNRWA masih beroperasi, dibantu oleh 37 pusat perubatan yang terletak di dalam dan di luar kawasan perlindungan," menurut UNRWA.

Agensi itu memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan lebih 8.5 juta rundingan perubatan di Gaza sejak serangan Israel bermula pada Oktober 2023.

"Akses tanpa halangan untuk membenarkan kemasukan bantuan yang menyelamatkan nyawa, termasuk ubat-ubatan dan bekalan perubatan asas, amat diperlukan dengan segera," menurut agensi itu.

Menurut laporan pihak kerajaan, pertubuhan hak asasi dan agensi antarabangsa, Israel menutup semua lintasan sempadan Gaza kepada bantuan kemanusiaan, makanan dan perubatan sejak 2 Mac, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada di wilayah itu.

Walaupun menerima desakan antarabangsa supaya melaksanakan gencatan senjata, tentera Israel terus melancarkan serangan ketenteraan terhadap Gaz, mengorbankan hampir 54,000 penduduk Palestin -- kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

-- BERNAMA


#bekalan perubatan #Gaza #kritikal #PBB