Bekalan tenaga solar Chile terjejas teruk akibat gerhana matahari

Agensi
Julai 3, 2019 02:17 MYT
Gerhana matahari yang melanda benua Amerika Selatan pada Selasa lepas telah menyebabkan gangguan yang besar terhadap bekalan tenaga elektrik Chile. - Foto Bloomberg
GERHANA matahari yang melanda benua Amerika Selatan pada Selasa lalu telah menyebabkan gangguan yang besar terhadap bekalan tenaga elektrik Chile.
Menurut Bloomberg, pusat-pusat tenaga solar sekitar Chile yang berkeupayaan membekalkan sekitar 2 gigawatt tenaga elektrik kepada seluruh negara itu telah jatuh ke hanya 0.8 gigawatt pada hari tersebut.
Namun begitu, kementerian tenaga negara tersebut telah membuat persediaan dengan meningkatkan pengeluaran tenaga hidro dan gas asli.
Gerhana matahari yang berlangsung selama 2 minit dan 36 saat itu berlaku pada pukul 4.39 petang Selasa (waktu Chile) di kawasan gurun Atacama berdekatan bandar La Serena, sebuah kawasan yang dikenali dengan langitnya yang cerah.
Peristiwa tersebut menjadi topik perbualan ramai di media sosial, terutamanya dalam kalangan penggiat-penggiat astronomi Chile sehinggakan bandar La Serena menerima kunjungan daripada lebih 300,000 pelawat, hampir 150 peratus daripada jumlah penduduk bandar kecil tersebut.
Kali terakhir kawasan tersebut mengalami gerhana matahari ialah pada tahun 1592, lapor Pertubuhan Astronomi Chile manakala gerhana yang seterusnya dijangka jatuh pada tahun 2165.
#Amerika Selatan #Astronomi #Chile #gerhana matahari #Instagram #La Serena #media sosial