Bekas ahli lembaga penasihat 1MDB kini orang kedua terkaya dunia

Agensi
Julai 18, 2019 04:05 MYT
Bernard Jean Etienne Arnault, yang pernah menjadi ahli lembaga penasihat 1Malaysia Development Berhad dari tahun 2010 hingga 2013 telah naik satu kedudukan dalam senarai orang terkaya dunia. - Gambar REUTERS/Benoit Tessier
BEKAS Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari tahun 2010 hingga 2013, Bernard Jean Étienne Arnault yang juga Pengerusi dan Ketua Eksekutif syarikat konglomerat mewah terbesar dunia, Moët Hennessy – Louis Vuitton SE (LVMH) berada dalam senarai nombor dua terkaya di dunia.
Pencapaian Arnault itu sekali gus mengenepikan pengasas Microsoft, Bill Gates berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg, lapor CNN Business.
Kekayaan sebanyak AS$108 bilion itu merangkumi nilai pegangan beliau dalam pelbagai anak syarkat LVMH, aset peribadi dan awam.
Syarikat LVMH yang dicipta pada tahun 1987 menerusi gabungan antara dua jenama terbesar Perancis pada ketika itu kini mempunyai 60 jenama terkenal yang tersenarai sebagai anak syarikatnya seperti Sephora, TAG Heuer dan Kenzo.
Di samping menjadi orang paling kaya dalam dunia fesyen dan barangan mewah, Arnault juga berkecimpung dalam dunia pelaburan, seni halus dan media.
Arnault juga dilaporkan memiliki sebanyak 97.4 peratus kepetingan saham dalam jenama fesyen mewah Christian Dior.
Christian Dior pula mengawal 41 peratus kepentingan dalam LVMH seperti tertulis dalam Laporan Tahunan syarikat berkenaan pada 2018.
Selain daripada skandal 1MDB, nama Arnault juga dikaitkan dengan kontroversi politik apabila pelbagai portal berita melaporkan hubungan rapatnya dengan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.
Pada April lalu, beliau telah berjanji untuk menyumbangkan sebanyak Euro 200 juta kepada usaha pembinaan semula gereja Notre-Dame, Perancis yang telah musnah akibat kebakaran.
Kedudukan nombor satu dalam Indeks Bilionair Bloomberg menyaksikan pengasas syarikat jualan dalam talian terbesar di dunia, Amazon, Jeffrey Preston Bezos atau lebih dikenali sebagai Jeff Bezos.
Kekayaan Bezos yang direkodkan ialah AS$124 bilion.
Sementara, individu terkaya di dunia yang berada di kedudukan keempat ialah pelabur terkemuka dunia, Warren Buffet dengan kekayaan sebanyak AS$81.9 bilion diikuti pengasas Facebook, Mark Zuckerberg (AS$78.7 bilion).
Berikut senarai 10 individu terkaya seperti yang dikeluarkan Indeks Bilionair Bloomberg:
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Bernard Jean Etienne Arnault #bisnes #kaya #Kenzo #Louis Vuitton #LV #notre dame #Paris #pelaburan #Perancis #politik #Sephora #usahawan