MANITOBA: Seorang bekas Ahli Parlimen Kanada, Inky Mark, ditahan selepas polis merampas ratusan senjata api, peluru, wang tunai bernilai ratusan ribu dolar serta sebuah meriam antik di kediamannya berhampiran Dauphin, Manitoba.
Polis Berkuda Diraja Kanada (RCMP) memaklumkan sebanyak 439 senjata api dirampas dalam serbuan yang dijalankan minggu lalu sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan kegiatan penyeludupan senjata.
Menurut RCMP, sekurang-kurangnya tiga daripada senjata yang ditemui dipercayai telah diperdagangkan secara haram.
Mark, 78, kini berdepan beberapa pertuduhan termasuk pemerdagangan senjata api, pemilikan peranti yang tidak dibenarkan serta penyimpanan senjata yang tidak selamat, yang menurut pihak berkuasa boleh mengancam keselamatan awam.
Bekas Datuk Bandar Dauphin itu ditahan semasa operasi penggeledahan polis pada 7 Julai lalu.
Beliau telah dihadapkan ke mahkamah minggu lalu atas lebih sedozen pertuduhan sebelum dibebaskan dengan syarat tertentu sementara proses perundangan diteruskan.
Penolong Pesuruhjaya RCMP merangkap Pegawai Pemerintah Manitoba, Scott McMurchy, menegaskan bahawa pemerdagangan senjata terlarang merupakan kesalahan serius.
“Pemerdagangan senjata yang dilarang secara haram adalah kesalahan serius yang mengancam keselamatan orang ramai.
“Kami menghargai usaha anggota RCMP yang bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk membanteras individu yang terlibat dalam pengedaran senjata berbahaya dan haram serta membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Siasatan bermula pada Mac lalu selepas polis dimaklumkan mengenai pertuduhan berkaitan senjata api yang dihadapi seorang lelaki lain dari kawasan Dauphin di Amerika Syarikat.
Hasil siasatan membawa pihak berkuasa kepada beberapa senjata api yang didakwa dibeli oleh Mark, namun menurut polis, pemindahan pemilikannya tidak pernah dilakukan secara sah.
Selain tiga senjata yang disyaki diperdagangkan secara haram, polis turut mendapati sebuah senjata api mempunyai nombor siri yang telah diubah suai.
Pihak berkuasa juga merampas lebih C$300,000 (kira-kira RM863,000) wang tunai dari kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, motif sebenar pemilikan sejumlah besar senjata tersebut masih belum dapat dipastikan.
Jurucakap RCMP Manitoba, Koperal Barry Kirby, berkata pihaknya mengetahui bahawa Mark merupakan seorang pengumpul senjata api, namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami tahu beliau seorang pengumpul senjata api, tetapi itu sahaja maklumat yang kami ada setakat ini,” katanya.
Mark pernah dipilih sebagai Datuk Bandar Dauphin pada 1994 sebelum tewas dalam usaha mempertahankan jawatan itu pada 2010.
Dalam politik persekutuan, beliau mewakili kawasan parlimen yang kini dikenali sebagai Dauphin-Swan River-Neepawa dari 1997 hingga 2010.
Sepanjang kerjayanya, Mark pernah menganggotai Parti Reform Kanada, Canadian Alliance dan Parti Konservatif sebelum bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya 2015, namun tidak berjaya merampas semula kerusi berkenaan.
Kes itu kini masih dalam siasatan dan dijangka kembali disebut di mahkamah pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.