BAITULMAQDIS: Bekas ketua agensi keselamatan domestik Israel, Shin Bet, Ronen Bar memfailkan saman fitnah terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhubung dakwaan bahawa beliau bertanggungjawab atas kegagalan mencegah serangan Hamas pada 7 Oktober 2023.
Dalam dokumen mahkamah setebal 134 muka surat, Bar menuduh Netanyahu berbohong bagi melindungi dirinya daripada dipersalahkan atas serangan yang mengorbankan ramai rakyat Israel itu.
Bar menegaskan beliau telah menghubungi setiausaha tentera perdana menteri sebaik sahaja terdapat petunjuk mengenai kemungkinan serangan, namun tidak mempunyai nombor telefon peribadi Netanyahu.
Sebelum ini, Netanyahu mendakwa beliau tidak menerima sebarang amaran daripada Bar pada pagi serangan tersebut dan berkata tragedi itu mungkin dapat dielakkan sekiranya beliau dimaklumkan lebih awal.
Menurut saman berkenaan, Netanyahu membuat tuduhan yang diketahuinya tidak benar dengan tujuan mengalihkan perhatian daripada tanggungjawabnya sendiri terhadap peristiwa 7 Oktober.
Bar turut mendakwa dasar kerajaan Netanyahu selama beberapa tahun telah meningkatkan ancaman daripada kumpulan bersenjata di Gaza.
Dalam reaksi balas, Netanyahu menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh parti Likud mempersoalkan tindakan Bar dan berkata bekas ketua Shin Bet itu mempunyai akses terus untuk menghubunginya pada bila-bila masa.
Bar meletakkan jawatan sebagai ketua Shin Bet pada Jun 2025 di tengah-tengah pertikaian berhubung kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan berkenaan.
Beliau menuntut ganti rugi sebanyak tiga juta syekel daripada Netanyahu.
Saman itu difailkan ketika kempen menjelang pilihan raya Israel pada 27 Oktober semakin sengit, dengan Netanyahu berdepan tekanan politik yang berterusan berhubung kegagalan menghalang serangan Hamas.
Dakwaan Bar muncul beberapa hari selepas bekas setiausaha tentera Netanyahu, Avi Gil, mendakwa rekod berkaitan peristiwa 7 Oktober telah diubah, termasuk masa panggilan telefon penting yang direkodkan oleh pejabat perdana menteri.
Pada 7 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 1,221 rakyat Israel terbunuh selepas pejuang Hamas menembusi sempadan Gaza, menurut angka rasmi Israel. Sebanyak 251 lagi individu diculik dalam serangan itu.
Sejak itu, lebih 74,300 penduduk Gaza dilaporkan terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel, menurut pihak berkuasa kesihatan di wilayah berkenaan.