INTERNATIONAL
Bekas ketua Parti Demokratik mendahului saingan Pilihan Raya Presiden Korea Selatan - Tinjauan
Lee Jae Myung. - Gambar fail/REUTERS
SEOUL: Bekas pemimpin Parti Demokratik (DP) Korea Selatan, Lee Jae Myung memperkukuh kedudukannya sebagai calon pilihan utama dalam Pilihan Raya Presiden negara itu yang dijadual berlangsung pada 3 Jun, lapor agensi berita Yonhap memetik tinjauan yang dikeluarkan Isnin.
Pilihan raya awal itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang memecat Presiden Yoon Suk Yeol berikutan cubaan melaksanakan undang-undang tentera yang gagal.
Tinjauan oleh Realmeter yang dijalankan dari Rabu hingga Jumaat melibatkan 1,504 responden berumur 18 tahun ke atas, menunjukkan Lee meraih sokongan sebanyak 50.2 peratus - kali pertama beliau melepasi ambang 50 peratus.
Bekas Menteri Buruh, Kim Moon Soo yang baru-baru ini menyertai Parti Kuasa Rakyat (PPP) mengumumkan pencalonannya, menduduki tempat kedua dengan 12.2 peratus - meningkat 1.3 mata peratusan berbanding minggu sebelumnya.
Calon lain daripada PPP termasuk bekas ketua parti Han Dong Hoon (8.5 peratus), Datuk Bandar Daegu, Hong Joo Pyo (7.5 peratus) dan Na Kyung Won (dua peratus).
-- BERNAMA