DUNIA

Bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney meninggal dunia

Agensi 04/11/2025 | 12:00 MYT
Menurut kenyataan keluarganya, Cheney menghembuskan nafas terakhir pada Isnin malam akibat komplikasi radang paru-paru serta penyakit jantung dan saluran darah - Foto Reuters
Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Dick Cheney dilaporkan meninggal dunia pada usia 84 tahun.

Menurut kenyataan keluarganya, Cheney menghembuskan nafas terakhir pada Isnin malam akibat komplikasi radang paru-paru serta penyakit jantung dan saluran darah.

Mendiang merupakan tokoh utama di sebalik pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2003, dan dianggap oleh sejarawan presiden sebagai salah seorang naib presiden paling berkuasa dalam sejarah negara itu.

Sebagai naib presiden dari 2001 hingga 2009, beliau berusaha memperluas kuasa pejabat presiden, susulan kemerosotan sejak skandal Watergate yang memaksa bekas bosnya, Richard Nixon, meletak jawatan.

Beliau juga meningkatkan pengaruh pejabat naib presiden dengan menubuhkan pasukan keselamatan negara, yang kerap berfungsi sebagai pusat kuasa tersendiri dalam pentadbiran.

Cheney merupakan penyokong tegar pencerobohan Iraq 2003 dan antara pegawai pentadbiran George W. Bush yang paling lantang memberi amaran mengenai ancaman berhubung dakwaan simpanan senjata pemusnah besar-besaran Iraq.



#Dick Cheney meninggal dunia #Amerika Syarikat #Pencerobohan AS ke atas Iras #berita luar negara