DUNIA

Bekas pelakon Superman umum sertai pasukan ICE AS

Astro Awani 08/08/2025 | 00:30 MYT
Cain sebelum ini lantang mengkritik versi baharu filem Superman arahan James Gunn yang dikatakan terlalu “pro-imigran.” - Foto X/Pop Crave
WASHINGTON: Dean Cain, pelakon yang terkenal dengan watak Superman dalam siri televisyen Lois & Clark: The New Adventures of Superman (1993–1997), telah mengumumkan bahawa beliau akan menyertai agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) sebagai pegawai kehormat.


Ringkasan AI
  • Dean Cain umum sertai ICE sebagai pegawai kehormat: Bekas pelakon Superman menyatakan hasrat untuk berkhidmat demi negara melalui agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS.
  • ICE giat rekrut 10,000 anggota baharu dengan insentif besar: Tawaran termasuk bonus sehingga RM211,000 dan bantuan pinjaman pelajar, dengan had umur permohonan dimansuhkan.
  • Sokongan terhadap dasar imigresen Trump: Tindakan Cain dilihat selari dengan dasar keras Presiden Trump, termasuk sasaran deportasi sejuta orang setahun.


Pengumuman itu dibuat susulan video promosi yang beliau terbitkan untuk menyokong kempen pengambilan anggota baharu oleh ICE.

Cain, yang juga merupakan timbalan sheriff dan pegawai polis simpanan, menyatakan bahawa beliau “akan mengangkat sumpah sebagai agen ICE secepat mungkin” dan menyifatkan tindakannya sebagai satu bentuk khidmat kepada negara.

“Orang ramai perlu bangkit. Saya bangkit. Harapnya ramai bekas pegawai lain akan turut serta,” katanya dalam temu bual di Fox News.

Agensi ICE kini dalam usaha merekrut 10,000 anggota baharu, termasuk pegawai deportasi, penyiasat jenayah dan peguam, dengan tawaran bonus sehingga AS$50,000 (RM211,000) dan bantuan pinjaman pelajar.

Had umur untuk permohonan juga telah dimansuhkan bagi menarik lebih ramai penyertaan.

Cain sebelum ini lantang mengkritik versi baharu filem Superman arahan James Gunn yang dikatakan terlalu “pro-imigran.”

Tindakannya menyertai ICE dilihat sebagai sokongan langsung terhadap dasar keras Presiden Donald Trump yang berhasrat meningkatkan kadar deportasi kepada sejuta orang setahun.







#Dean Cain #superman #ice #Donald Trump