INTERNATIONAL
Bekas pemimpin pembangkang Korea Selatan, Lee Jae-myung umum bertanding pilihan raya presiden
Lee meletakkan jawatan sebagai ketua parti itu pada Rabu, selaras dengan jangkaan meluas bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden. - Gambar fail/Reuters
SEOUL: Lee Jae-myung, bekas pemimpin Parti Demokratik Korea Selatan yang merupakan parti pembangkang utama, mengumumkan pencalonannya bagi pilihan raya presiden menerusi satu mesej video pada Khamis, lapor Xinhua.
Lee meletakkan jawatan sebagai ketua parti itu pada Rabu, selaras dengan jangkaan meluas bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden.
Pilihan raya presiden ditetapkan berlangsung pada 3 Jun selepas Mahkamah Perlembagaan memecat Presiden Yoon Suk-yeol pada 4 April berikutan tindakan beliau yang mengenakan undang-undang tentera secara singkat pada Disember lalu.
Lee, yang tewas kepada Yoon dalam pilihan raya presiden 2022 dengan margin paling kecil dalam sejarah negara itu, dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk menang.
Menurut satu tinjauan yang dijalankan oleh firma penyelidik tempatan, Flower, sebanyak 49.6 peratus responden menyatakan sokongan kepada calon daripada Parti Demokratik itu dalam pilihan raya presiden akan datang, manakala 29.5 peratus memilih calon daripada parti pemerintah, Parti Kuasa Rakyat.
Lee merupakan pilihan utama sebagai calon presiden Parti Demokratik, dengan kadar sokongan sebanyak 85.5 peratus.
Keputusan itu diperoleh daripada tinjauan terhadap 3,004 pengundi yang dijalankan dari 17 hingga 20 Mac.
-- BERNAMA