WASHINGTON: Pendakwa raya Amerika Syarikat memfailkan pertuduhan baharu terhadap bekas pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro, dan isterinya, Cilia Flores, atas dakwaan berkomplot untuk melakukan penyeksaan ketika memegang tampuk pemerintahan negara itu.
Pertuduhan yang didedahkan kepada umum pada Khamis itu menambah kepada pertuduhan pengedaran dadah dan kesalahan berkaitan senjata yang sebelum ini telah dikenakan terhadap pasangan berkenaan, yang kedua-duanya menafikan semua tuduhan.
Maduro, 63, dan Flores, 69, kini ditahan di sebuah pusat tahanan di Brooklyn sejak Januari lalu selepas ditangkap dalam serbuan oleh pasukan Amerika Syarikat di Caracas, Venezuela.
Peguam Maduro, Barry J Pollack, berkata anak guamnya menafikan pertuduhan terbaharu itu dan bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
Pada masa sama, pihak pendakwaan turut menambah Flores sebagai tertuduh dalam pertuduhan keganasan dadah yang difailkan sebelum ini.
Perbicaraan terhadap kedua-dua mereka dijadual bermula pada Jun 2027.
Menurut dokumen pertuduhan, Maduro dan Flores didakwa mengekalkan kuasa menerusi sistem penindasan yang melibatkan keganasan terhadap pembangkang politik, penahanan secara sewenang-wenangnya serta penyeksaan terhadap tahanan, termasuk warga Amerika Syarikat.
Pihak pendakwaan mendakwa penyeksaan yang dilakukan melibatkan kejutan elektrik, sesak nafas secara paksa, rogol, paksaan berbogel, pengasingan berpanjangan, kebuluran, penempatan dalam sel hukuman serta penyeksaan psikologi.
Mereka turut mendakwa penyeksaan psikologi itu termasuk ugutan untuk membunuh ahli keluarga mangsa, termasuk kanak-kanak.
Menurut pihak pendakwaan, tindakan berkenaan bertujuan memastikan Maduro dan Flores terus mengekalkan kuasa.
Flores turut dituduh memainkan peranan penting dalam sistem penindasan itu, termasuk mengarahkan individu tertentu diseksa dan menerima laporan berkaitan penyeksaan tahanan tertentu.
Pendakwa raya mendakwa beliau berbuat demikian bagi melindungi anggota keluarganya yang terlibat dalam kegiatan haram.
Tuduhan terbaharu itu selari dengan dakwaan yang telah lama dibuat oleh bekas tahanan politik di Venezuela yang mendakwa mereka menjadi mangsa layanan kejam ketika berada dalam tahanan.
Sementara itu, ratusan tahanan politik dilaporkan telah dibebaskan menerusi undang-undang pengampunan sejak perubahan kepimpinan di Venezuela, namun kumpulan hak tahanan Foro Penal mendakwa lebih 300 individu masih dipenjarakan.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk, sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan bahawa laporan mengenai penyeksaan terhadap tahanan masih diterima walaupun selepas Maduro disingkirkan.
Bagaimanapun, kerajaan Venezuela ketika itu menolak dakwaan berkenaan dan menuduh pihak tertentu cuba mempolitikkan isu hak asasi manusia di negara tersebut.