[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
DUNIA

Bekas pengurus bilik mayat Harvard dipenjara lapan tahun kerana jual bahagian tubuh manusia

Astro Awani 17/12/2025 | 01:30 MYT
Pemandangan di luar perkarangan Sekolah Perubatan Harvard di Kawasan Perubatan Longwood, Boston, Massachusetts. - Foto REUTERS
PENNSYLVANIA: Seorang bekas pengurus bilik mayat di Sekolah Perubatan Harvard dijatuhi hukuman penjara selama lapan tahun selepas mengaku bersalah mencuri dan menjual bahagian tubuh manusia yang didermakan untuk tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Cedric Lodge, 58, yang menguruskan bilik mayat Harvard selama lebih dua dekad sebelum ditangkap pada 2023, dihukum oleh Hakim Daerah A.S. Matthew Brann di Williamsport, Pennsylvania.

Beliau mengaku bersalah atas pertuduhan membawa barang curi merentasi sempadan negeri.

Menurut pendakwa raya, antara tahun 2018 hingga 2022, Lodge mencuri bahagian tubuh seperti kepala, muka, otak, kulit dan tangan daripada mayat yang telah digunakan untuk tujuan akademik.

Bahagian-bahagian itu kemudian dibawa pulang ke rumahnya di Goffstown, New Hampshire, sebelum dijual kepada pembeli di seluruh negara.

Isterinya, Denise Lodge, turut dijatuhi hukuman penjara selama satu tahun selepas mengaku bersubahat dalam penjualan anggota tubuh tersebut.

Kes ini telah mencetuskan kemarahan orang ramai dan menyebabkan tekanan terhadap Harvard, yang mengutuk tindakan Lodge sebagai bertentangan dengan nilai institusi tersebut.

Ramai keluarga penderma menyatakan rasa terkejut dan kecewa atas pengkhianatan kepercayaan terhadap institusi perubatan ternama itu.






#Cedric Lodge #pengurus bilik mayat #jual tubuh manusia #Harvard