[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
DUNIA

Bekas PM Bangladesh Hasina dan anak-anak disabitkan kesalahan rasuah

Bernama 27/11/2025 | 11:06 MYT
Pertuduhan terbaharu ini berkaitan dakwaan bahawa keluarga Hasina memperoleh tiga lot tanah dalam projek Purbachal New Town berhampiran Dhaka. - Reuters
DHAKA: Sebuah mahkamah di Dhaka pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina bersama anak lelaki dan anak perempuannya atas kesalahan rasuah berkaitan peruntukan tanah dalam sebuah projek kerajaan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Mahkamah itu mensabitkan Hasina tanpa kehadiran beliau di mahkamah, atas tiga kes berasingan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (ACC) yang dikendalikan kerajaan, menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan 21 tahun terhadap beliau.

Anak lelaki beliau, Sajib Wazed Joy, dan anak perempuan, Saima Wazed Putul, masing-masing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dalam kes berasingan, menurut peguam ACC, Mainul Hasan Lipon.

Hasina kini hidup dalam buangan di India selepas melarikan diri dari negara itu pada 5 Ogos 2024. Anak lelakinya tinggal di Amerika Syarikat (AS), manakala anak perempuannya, seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dilaporkan sedang bercuti tanpa tempoh ditetapkan, berkhidmat di New Delhi.

Awal bulan ini, bekas perdana menteri itu turut dijatuhi hukuman mati oleh sebuah mahkamah khas di Dhaka berhubung penglibatannya dalam tindakan keras terhadap protes besar-besaran tahun lalu yang menggulingkannya selepas 15 tahun berkuasa.

Pertuduhan terbaharu ini berkaitan dakwaan bahawa keluarga itu memperoleh tiga lot tanah berkeluasan 10 katha setiap satu - kira-kira 669 meter persegi - dalam projek Purbachal New Town berhampiran Dhaka.

Pihak pendakwaan berhujah bahawa mereka memperoleh tanah tersebut dengan "menyembunyikan maklumat, melanggar undang-undang dan melalui perbuatan rasuah", termasuk gagal mengisytiharkan bahawa mereka sudah memiliki kediaman di ibu negara.

ACC memfailkan enam kes rasuah terhadap Hasina dan keluarganya pada Januari susulan kejatuhan beliau.

Tiga daripada kes itu diputuskan pada Khamis, manakala tiga lagi - melibatkan ahli keluarga lain termasuk adiknya, Sheikh Rehana, dan anak saudaranya Tulip Siddiq, seorang Ahli Parlimen British - masih menunggu keputusan di mahkamah lain.

-- BERNAMA

#Rasuah #bekas PM bang adesh #Sheikh Hasina #hukuman penjara