[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
INTERNATIONAL

Bekas PM Pakistan, Imran Khan dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan

Bernama 29/03/2025 | 22:30 MYT
Imran Khan yang sedang dipenjarakan telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan atas kepimpinannya serta usaha memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi. - Gambar fail Reuters
ISLAMABAD: Bekas Perdana Menteri Pakistan yang sedang dipenjarakan, Imran Khan telah dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan atas kepimpinannya serta usaha memperjuangkan hak asasi manusia dan demokrasi, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pengumuman itu dibuat awal Sabtu oleh anggota Pakistan World Alliance (PWA) - sebuah kumpulan sokongan yang ditubuhkan Disember lepas - yang juga merupakan ahli Partiet Sentrum, sebuah parti politik di Norway.
"Kami berbesar hati untuk mengumumkan bagi pihak Partiet Sentrum bahawa, bersama individu yang mempunyai hak pencalonan, telah mencalonkan Imran Khan, bekas Perdana Menteri Pakistan, untuk Hadiah Nobel Keamanan atas usaha beliau dalam hak asasi manusia dan demokrasi di Pakistan," menurut kenyataan Parti Sentrum di platform X.
Pada 2019, Khan turut dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan atas usaha beliau dalam mempromosikan keamanan di Asia Selatan.
Setiap tahun, Jawatankuasa Nobel Norway menerima ratusan pencalonan sebelum memilih pemenang melalui proses pemilihan yang panjang selama lapan bulan.
Khan, yang juga pengasas parti pembangkang utama Pakistan, Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), telah dipenjara sejak Ogos 2023.
Pada Januari lepas, beliau dijatuhi hukuman 14 tahun penjara dalam kes berkaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
Ia merupakan kes keempat utama yang menyaksikan bekas perdana menteri itu disabitkan bersalah. Tiga sabitan terdahulu - berkaitan penjualan hadiah negara, kebocoran rahsia negara, dan pernikahan tidak sah - telah dibatalkan atau digantung oleh mahkamah.
Khan kehilangan jawatannya selepas undi tidak percaya pada April 2022. Beliau menafikan semua pertuduhan terhadapnya dan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.
-- BERNAMA
#Imran Khan #Hadiah Nobel Keamanan #hak asasi manusia #Pakistan World Alliance