NEW DELHI: Beribu-ribu rakyat Pakistan menyertai bekas perdana menteri Imran Khan di bandar Lahore pada Jumaat apabila beliau memulakan perarakan protes menuju ke Islamabad.

Imran dan partinya Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) menggerakkan orang ramai untuk menuntut pilihan raya umum lebih awal bagi menentang kerajaan pakatan Perdana Menteri Shehbaz Sharif yang berusia enam bulan.

"Tsunami di Liberty Chowk," ciap PTI dalam bahasa Inggeris, merujuk kepada kawasan bandar, lokasi Imran disambut ribuan penyokongnya.

"Revolusi telah bermula dari Lahore," katanya dalam ciapan lain dalam bahasa Urdu.

Penyokong dari seluruh Pakistan akan menyertai perarakan itu yang kemuncaknya di Islamabad pada 4 Nov. .

Sejak digulingkan dalam undi tidak percaya parlimen pada April, Imran telah mengadakan lebih 50 perhimpunan besar-besaran di seluruh Pakistan untuk memberi tekanan kepada kerajaan yang didakwanya dipilih melalui konspirasi perubahan rejim yang disokong pihak Barat.

Imran berkata perarakannya adalah untuk "haqeeqi azadi" (kedaulatan sebenar) yang membolehkan Pakistan meneruskan dasar bebas dan hak asasi rakyat tidak dicabuli.

Bercakap kepada penyokongnya di Lahore, beliau membidas kenaikan harga, rasuah dan penyeksaan ke atas pemimpin partinya yang ditahan serta wartawan yang menyokongnya.

"Rakyat lemas dalam inflasi. 'Kerajaan import' telah mencipta inflasi terburuk dalam tempoh 50 tahun.

"Saya mahukan pilihan raya yang bebas dan adil. Saya mahu rakyat menentukan siapa yang akan memimpin negara...," kata Imran.

-- BERNAMA