[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
DUNIA

Bekas PM Thailand, Thaksin Shinawatra dihukum penjara setahun

Agensi 09/09/2025 | 04:20 MYT
Mahkamah Agung Thailand pada Selasa memutuskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, perlu menjalani hukuman penjara setahun. - Gambar Reuters
BANGKOK: Mahkamah Agung Thailand pada Selasa memutuskan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, perlu menjalani hukuman penjara setahun - satu lagi tamparan besar buat keluarga bilionair itu yang telah mendominasi politik negara selama lebih dua dekad.

Menurut laporan Reuters, polis diarahkan menahan Thaksin susulan keputusan tersebut.

Mahkamah memutuskan tempoh tahanan Thaksin di hospital pada 2023 tidak boleh dikira sebagai tempoh hukuman kerana ia tidak dijalankan mengikut prosedur yang sah.

Thaksin yang dipilih sebagai Perdana Menteri pada 2001 dan sekali lagi pada 2005 digulingkan melalui rampasan kuasa tentera sebelum beliau memilih hidup dalam buangan.

Sekembalinya ke Thailand pada Ogos 2023, beliau dijatuhi hukuman penjara lapan tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Namun, Thaksin hanya berada beberapa jam di penjara sebelum dipindahkan ke Hospital Polis Bangkok selepas mengadu sakit jantung dan dada, sekali gus menimbulkan keraguan serta kemarahan orang ramai.

Hukuman penjara itu kemudian diringankan kepada setahun oleh Raja Thailand, dan Thaksin dibebaskan bersyarat selepas enam bulan — keseluruhannya dijalani di bilik kenamaan hospital berkenaan.

Krisis politik keluarga Shinawatra

Keputusan terbaharu ini hadir ketika keluarga Thaksin berdepan detik getir selepas anak perempuannya, Paetongtarn Shinawatra, disingkirkan sebagai Perdana Menteri oleh mahkamah hanya 11 hari lalu.

Beliau merupakan Perdana Menteri keenam daripada keluarga atau sekutu Shinawatra yang digulingkan sama ada melalui mahkamah atau tentera.

Kerajaan Paetongtarn tumbang Jumaat lalu selepas dicabar oleh Anutin Charnvirakul, yang dipilih Parlimen sebagai Perdana Menteri baharu — satu tamparan hebat buat parti Pheu Thai yang sebelum ini digerakkan Thaksin.

Thaksin kembali ke Thailand pada Isnin selepas menimbulkan spekulasi kononnya melarikan diri daripada siasatan.

Dalam satu hantaran di X, beliau menjelaskan ke Singapura untuk pemeriksaan kesihatan, namun pesawatnya terpaksa mendarat di Dubai susulan penutupan lapangan terbang.

Bulan lalu, kes menghina institusi diraja yang dihadapi Thaksin digugurkan kerana mahkamah mendapati bukti tidak mencukupi.

Kes itu berpunca daripada temu bual media pada 2015 ketika beliau berada dalam buangan, dibawa oleh pihak tentera diraja yang menggulingkan Thaksin pada 2006 dan adiknya, Yingluck Shinawatra, pada 2014.

Thaksin sebelum ini berdepan kemungkinan hukuman penjara sehingga 15 tahun. - Agensi


#Thaksin Shinawatra #Thaksin dipenjara #Mahkamah Thailand #Paetongtarn Shinawatra #Bekas PM Thailand