Bekas Presiden Bolivia Arce ditahan dalam siasatan rasuah

Pihak berkuasa kehakiman masih belum melaporkan sebarang pertuduhan rasmi atau langkah prosedur seterusnya. - Foto AP
LA PAZ: Bekas Presiden Bolivia Luis Arce ditahan pada Rabu di La Paz sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah berkaitan dana pembangunan masyarakat asli, menurut bekas Menteri Presiden Maria Nela Prada, lapor Xinhua.
Prada secara terbuka mengecam penahanan Arce oleh Pejabat Pendakwa Raya sebagai "satu penculikan", sambil berkata bekas presiden itu tidak dimaklumkan, tiada ahli keluarga hadir dan pemindahannya dilakukan tanpa notis rasmi.
Siasatan berkenaan mendakwa bahawa ketika Arce berada di Kementerian Ekonomi, beliau meluluskan pembayaran kerajaan ke akaun persendirian, termasuk milik bekas ahli kongres Lidia Patty yang kini ditahan reman di sebuah penjara wanita di La Paz.
Pihak berkuasa kehakiman masih belum melaporkan sebarang pertuduhan rasmi atau langkah prosedur seterusnya.
Menurut media tempatan, Arce dibawa ke ibu pejabat Pasukan Khas Memerangi Jenayah sekitar 3 petang waktu tempatan (1900 GMT) dengan menaiki van putih, sebelum dipindahkan ke unit antirasuah untuk memberikan kenyataan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


