Bekas Presiden Bolivia dihalang daripada bertanding semula jawatan

Bernama
Disember 31, 2023 10:09 MYT
Pada September Morales mengumumkan bahawa beliau akan bertanding semula dalam pilihan raya Presiden. - Gambar fail/Reuters
BUENOS AIRES: Mahkamah Perlembagaan Bolivia menghalang bekas Presiden Evo Morales daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya presiden 2025, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Mahkamah memutuskan bahawa mengehadkan kemungkinan untuk dipilih semula adalah tindakan yang sesuai untuk memastikan seseorang tidak kekal berkuasa selama-lamanya.
Dengan berbuat demikian, mahkamah itu membatalkan keputusan terdahulu pada 2017 yang menyifatkan pemilihan semula sebagai sebahagian "hak asasi manusia".
Dalam satu hantaran di platform X pada Sabtu, Morales mendakwa keputusan itu sebagai "bersifat politik" dan sebagai bukti "persubahatan beberapa hakim" dengan apa yang disifatkan beliau sebagai "muslihat" presiden Bolivia Luis Arce.
Pada September Morales mengumumkan bahawa beliau akan bertanding semula dalam pilihan raya Presiden.
Beliau menjadi presiden pribumi pertama negara Amerika Selatan itu pada 2006.
--BERNAMA-dpa
#Bolivia #pilihan raya #Evo Morales #presiden