DUNIA
Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dikesan hidap kanser kulit

Jair Bolsonaro disahkan menghidap kanser kulit pada Rabu, sehari selepas beliau dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh seminggu. - Gambar fail Reuters
BOGOTA (Colombia): Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro disahkan menghidap kanser kulit pada Rabu, sehari selepas beliau dimasukkan ke hospital buat kali kedua dalam tempoh seminggu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pihak hospital memaklumkan, lesi di kulit yang ditemukan pada tubuh Bolsonaro menunjukkan kewujudan "karsinoma sel skuamus."
Doktor berkata, beliau akan menjalani pemeriksaan berkala bagi memantau keadaannya.
Bolsonaro, 70, dimasukkan ke sebuah hospital di Brasilia pada Selasa selepas mengalami muntah dan tekanan darah rendah.Bagaimanapun, diagnosis itu diperoleh daripada ujian yang dijalankan Ahad lalu ketika lawatan hospital terdahulu, ketika beliau menjalani prosedur membuang lesi di dada dan lengan.
Pakar onkologi Bolsonaro, Claudio Birolini menyifatkan kanser itu berada pada tahap "pertengahan," iaitu di antara jenis paling ringan dan paling agresif.
Penyakit itu dikesan dalam keadaan "in situ," bermaksud sel abnormal belum menunjukkan tanda merebak.
Bolsonaro yang kini mempunyai balutan dan jahitan dijangka menanggalkannya dalam tempoh dua minggu.
Beliau dibenarkan keluar hospital pada Rabu dan pulang ke rumah dan ketika ini beliau masih menjalani perintah tahanan di rumah.
Bolsonaro dikenakan tahanan rumah sebelum ini selepas disabitkan bersalah kerana mengetuai rancangan rampasan kuasa antara 2022 dan 2023.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 27 tahun tiga bulan.
Mengikut syarat tahanan rumah yang ditetapkan Hakim Alexandre de Moraes, Bolsonaro hanya boleh keluar rumah jika berlaku kecemasan perubatan, dengan pasukan pembelaan diwajibkan mengemukakan laporan perubatan kepada mahkamah.
Para penyokongnya menggunakan faktor kesihatan sebagai alasan untuk beliau terus menjalani hukuman di rumah, dengan menzahirkan kebimbangan terhadap risiko komplikasi atau layanan buruk sekiranya dipindahkan ke penjara.
Anak sulungnya, Senator Flavio Bolsonaro, yakin bapanya mampu mengatasi penyakit itu. "Ayah saya sudah melalui perjuangan yang lebih sukar dan berjaya. Kali ini juga tidak akan berbeza," tulisnya di platform media sosial X.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami