DUNIA
Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dipenjara lebih 27 tahun selepas didapati bersalah rancang rampasan kuasa

Jair Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara 27 tahun tiga bulan selepas Mahkamah Agung negara itu mendapati beliau bersalah merancang rampasan kuasa bagi membatalkan keputusan pilihan raya presiden 2022. - Gambar Reuters
BRASILIA: Bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro dijatuhi hukuman penjara 27 tahun tiga bulan selepas Mahkamah Agung negara itu mendapati beliau bersalah merancang rampasan kuasa bagi membatalkan keputusan pilihan raya presiden 2022.
Daripada lima hakim panel, empat daripadanya sebulat suara mensabitkan Bolsonaro atas lima pertuduhan, termasuk menyertai organisasi jenayah bersenjata, cuba menghapuskan sistem demokrasi dengan kekerasan, melakukan keganasan terhadap institusi negara dan merosakkan harta awam ketika penyokongnya menyerbu bangunan kerajaan pada 8 Januari 2023.
Pendakwa mendakwa sebahagian rancangan itu melibatkan komplot untuk menggunakan bahan letupan, senjata perang atau racun bagi membunuh Presiden Luiz Inácio Lula da Silva, Timbalan Presiden Geraldo Alckmin dan Hakim Mahkamah Agung, Alexandre de Moraes, yang mengendalikan perbicaraan tersebut.
Bolsonaro, 70, menafikan semua pertuduhan, namun pihak polis persekutuan mendapati beliau mempunyai “pengetahuan penuh” mengenai usaha menolak keputusan pilihan raya, termasuk mendesak tentera campur tangan serta merancang untuk menubuhkan “pejabat pengurusan krisis” bagi menggantikan kerajaan sedia ada.Perbicaraan berprofil tinggi ini dilihat semakin memecah-belahkan Brazil, apatah lagi ia berlangsung menjelang pilihan raya umum 2026.
Ribuan penyokong Bolsonaro berhimpun ketika Hari Kemerdekaan hujung minggu lalu bagi membantah proses perundangan itu.
Anak sulungnya yang juga senator, Flavio Bolsonaro, mengecam keputusan mahkamah dengan menuduh Moraes bertindak sebagai diktator.
Sementara itu, sekutu rapat Bolsonaro, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, turut menyifatkan perbicaraan itu sebagai ‘pemburuan politik’ dan mengenakan tarif serta sekatan terhadap hakim yang terlibat.
Pentadbiran Trump menegaskan, dakwaan terhadap Bolsonaro adalah “pelanggaran serius hak asasi manusia.”
Ditanya wartawan pada Khamis sama ada beliau akan mengenakan sekatan baharu susulan keputusan mahkamah itu, Trump tidak memberikan jawapan jelas, sebaliknya, menyatakan rasa terkejut dengan keputusan tersebut.
“Saya fikir beliau seorang Presiden yang baik untuk Brazil dan sangat mengejutkan perkara ini boleh berlaku,” katanya di halaman White House.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio pula menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak adil” menerusi hantaran di X, sambil menegaskan Washington “akan bertindak balas sewajarnya terhadap pemburuan politik ini.”
Bagaimanapun, pentadbiran semasa Brazil menolak campur tangan asing dan menegaskan, proses perundangan itu dijalankan mengikut lunas undang-undang negara.
Seorang hakim, Luiz Fux, merupakan satu-satunya yang memilih untuk membebaskan Bolsonaro dengan alasan kejadian tersebut tidak boleh dianggap rampasan kuasa kerana Lula da Silva tidak pernah digulingkan.
Bolsonaro kini menyertai senarai panjang pemimpin Amerika Latin yang disabitkan kesalahan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk bekas Presiden Colombia Álvaro Uribe dan bekas Presiden Argentina Cristina Fernández de Kirchner. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami